‘Tolak pendinding, jampi, cukuplah Allah sebagai pelindung’

DALAM dunia seni, pentas gemerlapan bukan sekadar medan melabur bakat. Di sebalik sorakan peminat dan kilauan glamor terselit sisi gelap penuh khianat.

Bagi segelintir, rasa iri dan dendam mampu menjelma menjadi senjata halus seperti gangguan mistik, sihir atau serangan ghaib demi memuaskan hati.

Bukan lagi rahsia, ada artis yang sanggup memagari diri dengan pendinding atau tangkal, kononnya untuk melindungi daripada hasad manusia dan entiti ghaib.

Bagi si cantik Uqasha Senrose, pendindingnya hanya satu iaitu kebergantungan mutlak kepada Allah.

Mengakui dunia hiburan cabaran dan dugaan tidak terlihat, pemilik nama sebenar Nik Zaris Uqasha Nik Sen, itu sedar gangguan mistik bukan perkara asing, namun hatinya tetap teguh berpegang pada keyakinan bahawa perlindungan Ilahi mengatasi segala ikhtiar dunia.

“Sejak mula bergelar anak seni, saya tak pernah percaya pada pendinding atau jampi pelindung. Dunia hiburan memang penuh cabaran, tapi kalau hati kita teguh pada Allah, itu sudah memadai. Dia yang menjaga, Dia yang melindungi.

Amalan meminta bantuan jin atau syaitan bukan benda baru. Dari dulu sampai sekarang, ada sahaja yang guna jalan itu demi mencapai apa yang dihajati. Bagi saya, alhamdulillah, belum pernah terkena sihir atau gangguan orang.

“Kalau kita gantung tangkal, pakai pelindung, itu maknanya kita sudah menduakan Tuhan. Perlindungan paling kukuh hanya datang dari-Nya,” katanya kepada HibGlam.

Paling penting kata ibu satu anak itu, bacaan surah al-Baqarah, tiga Qul, zikir harian dan wuduk sebelum pulang ke rumah menjadi ‘baju besi’ rohani.

Lebih-lebih lagi sebagai seorang ibu, kewaspadaan terhadap gangguan makhluk tidak kelihatan sentiasa diutamakan.

Kalau balik dari penggambaran tengah malam, kita tak tahu apa yang kita terserempak. Sebab itu saya mandi dahulu sebelum buat apa-apa di rumah.

“Macam baru-baru ini, sewaktu penggambaran filem Munajjim: Sekutu Iblis, saya habis ‘shooting’ awal pagi. Sebelum pulang, saya singgah dahulu di masjid ambil wuduk, baru teruskan perjalanan,” ujarnya.

Menoktahkan perihal tersebut di situ, penulis sempat bertanya mengenai penampilan Uqasha yang kelihatan lebih ramping dan ‘glowing’ membuktikan kebahagiaan yang sedang dikecapi.

Hanya tersenyum, bintang berusia 33 tahun itu mengakui misi menurunkan berat badan bukanlah demi cantik semata-mata, sebaliknya tanda kasih pada tubuh yang lama diabaikan.

Saya mula bersenam, ambil suplemen dan jaga pemakanan. Lagi pun, saya tiada pembantu rumah. Lepas balik kerja, saya sendiri uruskan anak.

“Dia baru setahun, jadi setiap malam saya bangun tiga hingga empat kali untuk tukar lampin, susukan, dan tidurkan dia. Semua itu sudah kira senaman percuma,” tutupnya. – HIBGLAM

caption

UQASHA kini kembali langsing sebagai satu cara menjaga kembali tubuh badan yang selama ini diabaikan.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok