Usia separuh abad, 4 selebriti gigih sambung belajar

DALAM dunia hiburan yang penuh kemasyhuran dan dihambat jadual padat, tidak ramai sanggup kembali ke bilik kuliah lebih-lebih lagi jika usia mencecah separuh abad.

Namun, beberapa artis ternama membuktikan bahawa mengejar ilmu tidak mengenal batas usia mahupun status.

Di sebalik sorotan lampu pentas dan populariti, mereka sanggup meluangkan masa, tenaga serta komitmen demi segulung ijazah.

Perkara tersebut sekali gus menjadi inspirasi kepada para peminat sekali gus membuktikan impian yang tertunda masih boleh digapai walaupun pada usia matang.

Kali ini, HibGlam bawakan empat figura seni Indonesia yang komited menyambung pengajian meskipun sibuk dengan kerjaya masing-masing.

Kris Dayanti

DIVA Indonesia Kris Dayanti menjadi buah mulut ramai apabila mengumumkan keputusan untuk melanjutkan pelajaran pada usia 50 tahun.

Isteri kepada usahawan Raul Lemos itu menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Sains Pemerintahan di Universitas Terbuka Jakarta.

Ketika semester satu bermula, Krisdayanti hadir dengan penuh yakin pada sesi orientasi pelajar baharu.

Menariknya, pelantun lagu Menghitung Hari itu mengenakan jaket rasmi universiti rona kuning sama seperti pelajar lain sehingga meraih pujian ramai.

Ferry Salim

PADA Januari 2023, pelakon veteran Ferry Salim berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universitas Kristen Indonesia ketika berusia 56 tahun.

Pemilik nama penuh Ferry Chandra Salim itu mengakui belajar secara atas talian semasa pandemik Covid-19 membantunya menamatkan pengajian sambil bekerja dan melunaskan tanggungjawab pada keluarga tanpa sebarang masalah.

Tidak lama kemudian, pelakon filem Buya Hamka itu menyambung pelajaran dalam bidang sama di peringkat Sarjana dan lulus pengajian pada 30 Januari 2025 pada usia 58 tahun.

Dia menyifatkan pencapaian tersebut sebagai pengorbanan masa yang berbaloi dan memaklumkan bahawa tiada istilah terlambat untuk belajar.

Pasha Ungu

 

PASHA meraih Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Administrasi Publik pada usia 40 tahun.

Pemilik nama sebenar Sigit Purnomo Syamsudin Said, 46, itu menghabiskan pengajian pada 31 Disember 2019 selepas hampir empat tahun menuntut di Sekolah Tinggi Ilmu Administrasi Pembangunan Palu.
Sebelum itu, dia menyambung pelajaran di ABA-ABI Jakarta tetapi memilih untuk berhenti kerana kesibukan kerjaya muzik.

Mulan Jameela

KETIKA usia mencecah 40 tahun pada 2022, penyanyi Mulan Jameela menggenggam Ijazah Sarjana Muda Sastera Inggeris dari Universitas Kebangsaan Republik Indonesia.

Sama seperti Pasha Ungu, Mulan juga pernah melanjutkan pelajaran di Sekolah Tinggi Bahasa Asing Yapari, Bandung Indonesia, namun berhenti di tengah jalan.

Bukan itu sahaja, sepanjang tempoh kuliah sewaktu pandemik Covid-19, isteri kepada penyanyi Ahmad Dhani itu turut berdepan kesukaran belajar secara dalam talian.

Namun, Mulan bertuah apabila dua anaknya banyak membantunya menggunakan alat peranti bagi mengikuti kuliah. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok