TEMPOH tiga dekad mencurah keringat dalam gelanggang seni hiburan tanah air secara tidak langsung menjadi benteng kental di jiwa penyanyi, pelakon juga pengacara bernama Ifa Raziah.
Baginya, cemuhan adalah gurindam lama, fitnah sekadar bayang-bayang malah tiada lagi taring buatan manusia yang mampu meruntuhkan keteguhannya.
Di kiri dan kanan, gelombang cuba menerjah, namun wanita berjiwa waja itu sudah arif membaca alur badai.
Sering kali menjadi bahan tajuk sensasi, nama figura versatil itu sudah sebati dengan kontroversi, namun di sebalik senyum dan lensa kamera, tersembunyi kisah luka yang hanya tuannya tahu.
Siapa menyangka, pemilik nama sebenar Saripah Raziah Mustapha yang hari ini hidup serba mewah itu pernah melalui detik ‘gelap pekat’ hingga seakan tidak nampak cahaya di hujung lorong.

PADA usia 50 tahun, Ifa Raziah sebenarnya belum cukup selesa dengan apa yang dimiliki, perniagaannya juga bergerak perlahan. – FARIZ RUSADIO
Semuanya berpunca ketika negara dilanda pandemik Covid-19, saat segala yang dibina bertahun-tahun runtuh dalam sekelip mata.
“Orang nampak saya senang sekarang tapi tidak pernah tahu apa yang saya lalui. Mengimbau saat susah, bukan sekadar terduduk, terpelanting, meniarap, merangkak, meraung semua saya rasa.
Tahun 2022 momen paling menyedihkan apabila perniagaan saya iaitu Star Vendors sudah siap pasang booth di PWTC, tiba-tiba Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diumumkan. Mahu tak menangis saya.
“Saya pulangkan semua duit vendor, hampir satu juta ringgit. Satu sen pun saya tak ambil, sebab saya faham semua orang sedang berjuang,” katanya kepada HibGlam.
Keputusan tersebut juga memaksa wanita berusia 50 tahun itu mengorbankan harta dan bergolok-bergadai demi melangsaikan hutang.
Saya jual rumah, jual kereta, jual apa sahaja yang ada. Janji nama bersih, tidak berhutang. Walau susah, saya rela pulangkan semua wang orang. Gelap gelita kejap dunia saya ibaratnya. Tapi masa tu, saya tahu Allah sedang uji,” luahnya.
Ditanya, adakah sekarang sudah memasuki selesa, ibu dua anak itu menggelengkan kepala, namun bersyukur atas segala rezeki yang ada.
“Ekonomi sekarang pun tidak berapa baik, tahun ini sangat teruk. Dahulunya, saya mampu anjur 10 acara setahun, sekarang terpaksa kurangkan ke empat, kemudian tiga, kemudian tinggal satu sahaja.
Sekarang, saya tak mahu lagi belanja besar untuk buat acara. Bukan semua acara atau festival menguntungkan.
“Ramai orang fikir sekali buat mesti dapat jutaan ringgit, tapi mereka tak tahu kos dan modal kami laburkan. Mereka tak nampak segala perancangan dan pengorbanan yang dibuat,” ujarnya.

TAHUN 2022 menjadi momen paling menyedihkan apabila selepas acara Star Vendors yang hanya menunggu hari terpaksa dibatalkan akibat pelaksanaan PKP.
Beratus kali disihir
Seakan tidak cukup diuji, badai lain pula menampar. Pelakon Risik Pada Hati itu mendedahkan pernah menjadi mangsa sihir. Bukan sekali dua, namun berulang kali, dipercayai daripada pihak yang cemburu akan rezekinya.
Lebih teruk, kesan sihir tersebut mengganggu rumah tangga dan merudumkan perniagaannya.
“Dalam industri, perkara hitam masih wujud, cuma kita sedar atau tidak.
Saya sendiri beratus kali mengalaminya. Sihir yang mengacau mimpi, ganggu rumah tangga dan bisnes. Perkara itu berlaku sampai sekarang.
“Benda ini memang akan ganggu rumah tangga, kita akan rasa panas bila tengok muka suami, perniagaan pula akan jadi makin merudum.
Ada yang berkawan depan mata, tapi menikam dari belakang. Saya tak faham mengapa mereka rasa tergugat.
“Saya tak usik hidup mereka. Sebab itu sekarang saya tak ramai kawan. Cukup sekadar hai-hai, bye-bye,” dedahnya.
Sebagai pendinding, Ifa mengamalkan petua mandi garam sejak lebih sepuluh tahun, atas nasihat pakar agama.
Saya amalkan mandi garam setiap hari sejak lebih 10 tahun lalu atas saranan ustaz. Mandi garam buang aura negatif dan sihir yang melekat.
“Kita serah kepada Allah. Setakat ini saya belum pernah jumpa bomoh atau ustaz lain, cuma amalan mandi garam dan baca al-Fatihah tiga Qul, surah al-Waqi’ah, berselawat dan berdoa.
“Menjadi Ifa Raziah, memang ada saingan yang cuba jatuhkan kita, tikam belakang, buat fitnah. Saya dah lalui macam-macam selama 30 tahun jadi artis,” luahnya.
Empat tahun tiada tawaran
Hakikatnya, badai tidak berakhir di situ. Kendati pun pernah menjulang trofi Artis Versatil Popular Anugerah Bintang Popular, sudah empat tahun Ifa tidak menerima sebarang tawaran berlakon, menyanyi mahupun mengacara.

NAMPAK meriah, hakikatnya sudah empat tahun Ifa Raziah tiada tawaran lakonan, nyanyian dan pengacaraan.
Sejak buat Star Vendors, langsung tak ada tawaran berlakon. Sudah empat tahun sendu. Mungkin ada persepsi saya sudah kukuh ekonomi dan tolak tawaran sebab mahal, sebenarnya tiada siapa tanya.
“Kadang-kadang saya terfikir, saya sudah tua, orang pun tak panggil saya buat watak ibu-ibu. Padahal saya masih bersemangat berlakon. Peminat juga rindu melihat saya di televisyen.
Tapi saya percaya, mungkin Allah atur perjalanan hidup saya dengan cara tersendiri. Saya rindu lakonan,” jelasnya.
Menyedari payah benar disua tawaran, Ifa merancang untuk membuka rumah produksi sendiri.
“Ada perancangan nak jadi produser, jadi pelakon utama hanya bila perlu. Kita panggil muka baharu untuk cerita baharu.
“Tapi nak buka produksi, kena faham pekerja dan mula dari bawah. Selama ini saya hanya jadi pelakon di depan kamera, kena belajar kerja belakang pula. Banyak saingan, perlu ada ‘cable’ dan sabar nak hadapi politik industri,” sinisnya.
Gelaran Datuk sah!
Beralih ke topik seterusnya, penulis beranikan diri bertanyakan isu pangkat Datuk miliknya yang didakwa ramai sekadar ‘propa’ dan tidak sah.
Hanya tersenyum, pelantun Ser… Ser… Ser… itu segera menunjukkan kad perakuan mengesahkan dirinya dikurniakan gelaran tersebut secara rasmi dan bukannya semata-mata rekaan.
“Gelaran itu rasmi. Saya guna hanya untuk urusan bisnes. Tapi bila orang tahu saya Datuk, mereka mula fikir saya mahal dan kaya. Itu sebab saya jarang guna gelaran itu dalam hiburan.
“Ingatkan tak guna gelaran itu dapatlah tawaran berlakon, rupanya sama sahaja, habuk pun tiada.
“Bila ada mesyuarat atau bisnes, baru saya guna gelaran rasmi. Tapi dalam dunia seni, lain situasinya. Pangkat itu dikurniakan kepada Saripah Raziah bukan Ifa Raziah,” tutupnya. – HIBGLAM