Penyanyi Ara Johari terpaksa menelan kekecewaan apabila lagu Menjaga Jodoh Orang Lain (MJOL) tidak lolos di Anugerah Industri Muzik-24 (AIM24) akibat faktor teknikal yang sepatutnya boleh dielakkan.
Ara atau nama sebenarnya Nurfarrah Izzatie Johari, 28, meletakkan harapan tinggi memandangkan tahun ini AIM memperkenalkan kategori baharu iaitu Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis atau Komposer Luar Negara Terbaik.
“Secara jujurnya saya rasa sangat kesal dan kecewa kerana saya menaruh harapan yang tinggi untuk lagu MJOL bertanding di AIM.
“Lebih-lebih lagi tahun ini AIM membuka satu kategori baharu iaitu Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis Atau Komposer Luar Negara Terbaik.
“Apa yang saya kesalkan MJOL tidak tercalon dalam lima terbaik bukan disebabkan tak layak atau tewas dengan lagu-lagu lain, sebaliknya kesilapan teknikal daripada pihak tertentu yang tidak mencalonkan MJOL dalam kategori tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.
Bagaimanapun, peserta Akademi Fantasia musim ke-13 itu tidak putus asa untuk menghasilkan karya lebih baik.
“Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak dan hanya menganggap MJOL tiada rezeki untuk dipertandingkan dalam AIM.
“Namun itu tidak membuatkan saya patah semangat untuk terus menghasilkan karya yang bagus, saya melihat dari sudut positif dan mencabar diri saya mengeluarkan lagu lebih baik tahun hadapan.
“Insya-Allah mungkin ada rezeki saya untuk AIM tahun hadapan,” ujarnya lagi.
Lagu MJOL dicipta oleh komposer Indonesia, Ilham Baso dan dihasilkan di Jakarta.
Baru-baru ini, AIM24 mengumumkan calon lima teratas bagi 26 kategori yang dipertandingkan pada 13 September depan.
Antara lagu yang lolos dalam kategori Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis atau Komposer Luar Negara Terbaik adalah Masing-Masing (Ernie Zakri), Sejarah (Datuk Seri Siti Nurhaliza), Dursila (Meisks), Cinta Tak Pernah Tepat Waktu (Aina Abdul feat Fabio Asher) dan Naluri (Sekumpulan Orang Gila feat Boniex For Revenge). – HIBGLAM