Aura Jong-suk, Ga-young bikin ramai histeria

AURA bintang Korea sekali lagi membadai bumi Malaysia apabila dua pelakon sensasi, Lee Jong-suk dan Moon Ga-young, hadir mempromosikan drama terbaharu mereka, Law and the City.

Kehadiran pasangan hero dan heroin itu bukan sekadar menjamu pandangan, malah menggegarkan hati ribuan peminat setia yang sanggup berhujan, berpanas, dan beratur sejak subuh demi menyaksikan kemunculan idola pujaan.

Sejak tayangan sulung pada Julai lalu, Law and the City mencipta fenomena luar biasa apabila berjaya menempatkan diri dalam senarai 10 teratas tontonan antarabangsa di Astro dan tvN Asia.

Berlatarkan dunia perundangan Seocho di Seoul, naskhah tersebut memaparkan suka duka lima peguam muda dalam meniti cabaran kerjaya, persahabatan dan kehidupan peribadi.

Puncak keterujaan berlaku pada malam Ahad lalu di Pavilion Kuala Lumpur. Karpet merah KL Star Tour diserikan dengan kehadiran lebih 1,000 penonton yang turut berpeluang menyaksikan tayangan eksklusif episod akhir di DADI Cinema, Kuala Lumpur.

BERDEBAR, Moon Ga-Young dan Lee Jung-Suk mengakui sudah lama tidak merasai momen gementar ketika berhadapan dengan penonton secara dekat.

Ada yang sanggup terbang dari Boston semata-mata mahu melihat bintang kesayangan mereka, malah pelbagai lapisan umur daripada remaja hingga warga emas 77 tahun ‘bersidai’ menunggu sejak pukul 7 pagi.

Pada sidang media keesokan harinya, aktor berusia 35 tahun itu mengakui amat terharu dengan sambutan luar biasa rakyat Malaysia yang menyokong kariernya.

Semangat semua peminat yang hadir sungguh mengagumkan. Ini kali pertama saya menjejakkan kaki ke Malaysia dan saya amat bersyukur serta gembira dapat merasai momen sebegini.

“Saya benar-benar menikmati masa bersama peminat dan pulang membawa kenangan paling manis.

“Sepanjang berada di Malaysia, banyak momen yang menyentuh hati saya,” katanya kepada HibGlam.

Senada dengan Jong-suk, aktres berusia 29 tahun itu pula mengakui kehadiran peminat yang membanjiri acara membuatkan hatinya berdebar-debar dan berbunga-bunga.

Dapat berkongsi episod akhir dengan peminat secara dekat adalah peluang yang sangat jarang berlaku dan saya bersyukur atas memori ini,” luahnya.

FENOMENA Law and The City, yang mula ditayangkan Julai lalu mencetus gelombang sehingga menduduki carta 10 teratas di Astro dan menjadi antara program paling laris di tvN Asia.

Bercerita tentang naskhah tersebut, Jong-suk berkata, karya itu memberikan peluang berharga untuk memperlihatkan sisi berbeza lakonannya.

Law and the City memberi ruang untuk saya melakukannya dan itu amat menyeronokkan,” tambahnya.

Ga-young pula mendedahkan, faktor terbesar yang membuatnya menerima tawaran drama tersebut ialah peluang bergandingan bersama Jong-suk.

“Skripnya memang hebat, ditambah pula dengan barisan pelakon yang membuatkan saya tidak teragak-agak untuk terlibat.

Ini juga peluang pertama kami bergandingan, dan Jong Suk banyak membantu membimbing pelakon lain. Dia mencipta suasana penggambaran yang stabil dan selesa,” ujarnya.

Acara sidang media itu turut diserikan dengan kejutan dua biji kek comel sebagai tanda meraikan kedatangan mereka ke Malaysia. Kedua-duanya kelihatan teruja dan tidak henti-henti mengucapkan terima kasih.

Dalam perkembangan lain, selepas menutup tirai Law and The City, Jong-suk kini bersiap sedia membintangi projek baharu berjudul Leonardo, manakala Ga-young bakal tampil dalam sebuah filem yang dijadualkan ditayang tidak lama lagi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok