JULUNG kali ke Malaysia, penghibur legenda Bollywood Kumar Sanu teruja dengan sambutan peminat tempatan sekali gus tidak sabar beraksi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), malam ini.
Penyanyi lagu latar berusia 67 tahun yang digelar Raja Melodi itu mengakui menerima respons luar biasa sejak pengumuman mengenai konsertnya yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur.
“Ini merupakan kunjungan pertama saya ke sini tetapi sudah buat saya jatuh cinta dengan Malaysia melihatkan sambutan, kemesraan, keindahan serta keenakan makanannya.
“Malaysia juga tempat di mana ramai peminat saya berada terutama bagi yang mengikuti nyanyian saya sejak era 90-an sehingga kelompok pendengar generasi baru.
“Malam ini juga merupakan detik yang saya sendiri tunggu untuk memperdengarkan rangkaian lagu termasuk seleksi daripada filem popular,” katanya ketika ditemui HibGlam di Hotel Parkroyal Collections, semalam.
Dikenali dengan rangkaian lagu balada romantis dan hits yang mendominasi carta muzik, suara Kumar Sanu menyuntik kesegaran kepada landskap muzik filem Hindi pada era 90-an.
Dendangannya menjadi sebutan merentas generasi menjadikan beliau pilihan terbaik untuk menghidupkan semula kenangan emas Bollywood melalui konsert sarat nostalgia.
Konsert istimewa ini dianjurkan Rocking Rickshaw dengan kerjasama Cinestar Events Australia dan disokong Genira Creative Productions.
Pengarah Urusan Rocking Rickshaw, Anil Goswami berkata, konsert ini bertujuan mengembalikan kenangan indah yang tidak dapat dilupakan dengan menyajikan rangkaian seleksi lagu filem malar segar.
“Konsert ini juga adalah satu penghargaan terhadap melodi abadi yang mendefinisikan sebuah era kegemilangan dunia perfileman Bollywood di arena antarabangsa.
“Kami berbangga dapat memenuhi impian dan permintaan peminat tegar yang sekian lama teringin mendengar vokal ajaib Raja Melodi Bollywood ini.
“Bukan itu sahaja, konsert ini menyatukan peminat muda dan orang lama menzahirkan rasa cinta mereka kepada lagu ikonik Kumar Sanu,” ujarnya.
Selain Malaysia, penyanyi yang meraih pelbagai anugerah itu juga akan ke Singapura bagi melengkapkan siri konsert jelajahnya di rantau ini.
Dalam beberapa bulan akan datang, beliau dijadualkan mengadakan persembahan mega di Kanada, Amerika Syarikat dan United Kingdom.
Kumar Sanu atau nama sebenarnya Kedarnath Bhattacharya sudah merakam ribuan lagu dalam lebih 12 bahasa termasuk Bengali, Marathi, Tamil, Telugu, Malayalam, Gujarati, Punjabi, Urdu, dan Bengali.
Antara pencapaian termasuk Anugerah Filmfare bagi Penyanyi Latar Lelaki Terbaik lima tahun berturut-turut selain mencatat Rekod Dunia Guinness bagi jumlah rakaman lagu terbanyak dalam sehari (28 lagu).
Beliau juga terkenal dengan lagu ikonik seperti Mera Dil Bhi Kitna Pagal Hai (Saajan), Sochenge Tumhe Pyar (Deewana), Kuchh Na Kaho (1942: A Love Story), Tujhe Dekha Toh Yeh Jaana Sanam (Dilwale Dulhania Le Jayenge) dan Yeh Kaali Kaali Aankhen (Baazigar).
Tiket menyaksikan Kumar Sanu Live in Malaysia di Plenary Hall KLCC boleh ditempah di www.ticket2u.com.my. – HIBGLAM