PERNAH menghidap ketumbuhan dalam otak, pelakon Nazim Othman mendedahkan parut yang ditinggalkan akibat prosedur tersebut tidak hilang, malah kekal menjadi tanda seumur hidupnya.
Pada masa sama, Nazim atau nama lengkapnya Nushrul Alif Othman, 41, menyifatkan parut tersebut peringatan supaya dirinya tidak melakukan perkara negatif.
“Mana ada hilang (parut), ada sampai mati.
Ini seolah-olah peringatan kekal untuk saya, ‘Nazim, kau jangan nak liar sangat, aku dulu pernah bagi kau peringatan.’
“Parut itu akan sentiasa ada. Tak nampak sebab terlindung dengan rambut,” katanya dalam sebuah siaran langsung TikTok.
Mengimbas kembali pengalaman di bilik bedah kira-kira 10 tahun lalu, pelakon drama Dia Bukan Syurga itu berkongsi secara terperinci proses yang dilaluinya.
Doktor belah kulit kepala saya, dia gergaji tengkorak saya, korek otak dan cari di mana tumor itu berada.
“Dua jam kemudian, doktor tutup semula dan letak enam skru titanium,” katanya lagi.
Pada 2015, Nazim disahkan menghidap ketumbuhan otak yang terletak di antara bahagian mata kanan dan atas hidung kanannya. – HIBGLAM