KALI kedua bekerjasama dengan perkhidmatan penstriman video OTT Viu, Feroz Kader selaku sutradara tersenyum lebar apatah lagi hadir dengan naskhah Seadanya Kita yang cukup dekat di hati masyarakat apabila memaparkan isu curang dan percintaan jurang usia.
Seadanya Kita mengisahkan seorang ibu tunggal membina semula kehidupan bersama anak lelaki selepas ditinggalkan suami yang berselingkuh. Dia kemudian bertemu jejaka muda yang masih bergelut dengan masa silam.
“Apabila dapat naskhah yang hebat, jadi separuh kerja sebagai pengarah dah selesai.
Keduanya apabila dapat pelakon bagus, semestinya kombinasi yang sangat menarik. Perkara itu menjadikan naskhah ini istimewa.
“Saya pun dapat pasukan kerja yang hebat. Syukur alhamdulillah, perjalanan di set sangat mudah,” katanya.
Selain itu, Feroz bersyukur dengan pemilihan barisan pelakon yang dibuat pihak Viu dan teruja melihat proses lakonan yang sangat memberangsangkan.
“Pemilihan pelakon kredit kepada produksi dan Viu. Ketika saya masuk, semua senarai sudah lengkap. Tengok sahaja, saya tahu ada keserasian bila mereka semua digabungkan. Masing-masing pula ada kelebihan, akan mencetuskan ‘magik’ dan sememangnya terjadi kepada kami.
Saya bukan sahaja sebagai pengarah apabila duduk di hadapan monitor tetapi juga peminat yang mengagumi lakonan mereka.
“Saya suka dengan cara mereka menjiwa watak. Saya tak tahu daripada mana mereka dapat tenaga itu. Mereka bagi 100 peratus usaha,” ujarnya lagi.

GANDINGAN mantap Amierul, Emma, Shahz Jaszle dan Ara menyuntik magis dalam Seadanya Aku.
Suka berangan
Sementara itu, penerbit dan idea asal Adila Ramly bersama rakan seperjuangan, Liza Nur mendedahkan inspirasi Seadanya Kita terzahir daripada tabiat mereka yang gemar berangan.
Sebenarnya saya dan Liza suka sangat berangan. Kadang-kadang kalau nampak ada pasangan tengah makan, kami akan cipta senario mengenai apa masalah mereka.
“Daripada situ, kami akan dapat cerita seperti ini. Selepas itu, kami akan susun dan kembangkan.
“Ada juga kami dapat daripada perkongsian Instagram dan TikTok. Kami akan kongsikan dalam DM (mesej langsung) dan berbincang sama ada boleh guna dalam dialog,” ujarnya.
Meskipun jalan cerita seakan-akan naskhah curang lain, Liza yang bertindak sebagai penulis skrip memaklumkan Seadanya Kita cuba membawa mesej yang jarang diketengahkan dalam drama tempatan.
“Sebenarnya cerita ini cuba bawa konsep tabu. Memang lain daripada yang saya tengok sebab heroin jauh lebih berusia dan saya selalu lihat dalam media sosial bagaimana orang menghakimi situasi itu.
Bila ada elemen curang, penonton akan cakap klise tetapi isu ini berlaku dalam kehidupan seharian.
“Memang benar-benar wujud dan boleh dikatakan sangat normal dalam masyarakat hari ini. Jadi untuk bawa konsep sama tapi disuntik dengan gaya berbeza saya rasa satu cabaran bagi kami,” jelasnya.
Pengarah Produksi Viu, Imillya Irwani Roslan turut mengulas bagaimana drama tersebut menyingkap pandangan masyarakat terhadap perbezaan usia dalam percintaan.
“Bila kita muat naik poster Emma dan Mierul, orang cakap gandingan tak sesuai dan umur jauh beza. Daripada komen dah nampak stigma masyarakat tentang perbezaan usia.
Kita nak tunjukkan kenapa ada perbezaan dan pandangan sebegitu? Tidak sepatutnya begitu sebab kita kena percaya kepada takdir.
“Kalau dah memang itu jalannya, terimalah seadanya,” kata Imillya.
Drama romantik 15 episod itu ditayangkan secara eksklusif bermula 7 Ogos lalu dengan episod baharu setiap Khamis dan Jumaat menerusi aplikasi Viu.
Seadanya Kita dibintangi Emma Maembong, Mierul Aiman, Shahz Jaszle, Nelissa Nizam dan Ara Johari. – HIBGLAM