BERKONGSI peristiwa masa lalu, penyanyi dan pengacara, Datuk AC Mizal pernah berdepan pengalaman ketika belajar di sebuah pusat pengajian tentera.
AC atau nama sebenarnya Mizal Zaini, 53, berkata, tradisi yang disebut ‘ragging’ itu sudah dinormalisasikan ketika zaman pelajar termasuk mendatangkan kecederaan fizikal.
“Saya pernah jalan itik sejauh lima kilometer, kaki tak boleh bangun. Dulu pun tangan saya habis sebab tekan tubi atas jalan raya.
“Kaki saya pernah dicuba (dihiris) dengan pisau panas untuk tengok pisau itu tajam ke tidak. Dia kikis, ada kesan sampai sekarang. Tidur berdiri. Perkara ini normal.
“Puting kawan saya satu tiada, kena ketip. Cuma nak kata teruk waktu itu senior pun kena. Tak tahu sekarang ada lagi (budaya ragging) atau tak,” kongsinya ketika ditemu bual audio siar Dols Podcast.
Kongsi anggota 4UC2 itu lagi, pada usia 13 tahun dia dihantar bapanya sambung belajar di tingkatan satu maktab terbabit tanpa dimaklumkan terlebih dahulu.
“Arwah bapa saya waktu itu jadi Ketua Polis di Muar. Dia cuma cakap ‘Mizal siap barang kita pergi Kuala Lumpur’. Saya pun okeylah. Sampai saja saya tengok keliling dan duduk.
“Dia terus cakap okey kau duduk sini ye. Belajar kat sini, terus dia balik. Sebulan saya menangis dalam kelambu,” ujarnya.
Begitupun, kata AC, kehidupan di asrama membuatkannya bersyukur apabila berpeluang melalui pelbagai pengalaman pahit manis yang menjadikannya seorang manusia.
“Waktu itu memang saya marah pada arwah ayah tapi sekarang ini sebab sekarang letak saya di mana pun saya boleh hidup.
“Letak hutan boleh hidup, di bandar pun boleh hidup sebab di situlah kita punya tempat, mungkin sebab saya baik dengan kawan-kawan.
“Kawan-kawan adik-beradik saya. Itu yang saya sangat sensitif kalau kawan buat saya,” tambahnya.
Terdahulu, susulan kes kematian pelajar sebuah sekolah agama di Sabah, Zara Qairina, ramai selebriti turut berkongsi pengalaman zaman persekolahan mereka.
Bahkan, sebilangan besar artis lain turut menunjukkan solidariti agar budaya tidak normal ini dihapuskan selain berharap keadilan dapat ditegakkan untuk arwah. – HIBGLAM