SENTIASA di hati, ibu kepada pelakon Anna Jobling, Ariz Arop tetap mengingati ulang tahun kelahiran ke-25 anak perempuannya itu dengan menitipkan ucapan selamat hari lahir.
Biarpun hubungan anak-beranak itu kini dalam fasa tegang, wanita terbabit mendedikasikan hantaran istimewa yang disertakan foto ketika puterinya masih kanak-kanak.
“Happy birthday (selamat hari jadi) anak. 14.8.2025,” tulisnya ringkas dalam Instagram dengan disertakan emoji hati.
Menerusi hantaran lain di InstaStory, Ariz memberi bayangan berlapang dada berdepan dugaan selain menyerahkan segala-galanya kepada ketentuan Ilahi.
“Yang tahu sahaja tahu apa yang terbungkam di hati ini. Biarlah dunia di luar sana menghakimi. Allah sahaja yang maha mengetahui segalanya,” ujarnya.
Perkongsiannya mengundang maklum balas ramai yang mendoakan hubungannya dengan Anna kembali pulih seperti dulu.
“Puan, saya juga seorang ibu dan anak. Tiada apa yang saya harapkan selain kegembiraan anda berdua,” kata seorang pengikut.
“Sebak pula hati. Manusia tiada yang sempurna di dunia. Saya doakan Allah bantu keluarga ini, hilangkan segera kesedihan,” kata netizen lain.
Kemelut antara Ariz dan Anna meraih perhatian selepas dia mendakwa menerima perintah injunksi daripada anaknya sendiri, selain mendedahkan dia berada di balai polis.
Wanita terbabit juga mendakwa anak kesayangannya semakin kurang ajar sehingga menamparnya selepas perbualan mereka bertukar kepada panggilan kasar ‘aku, kau’.
Begitupun, sehingga kini Anna atau nama lengkapnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman Jobling belum memberikan sebarang maklum balas mengenai kontroversi pertelingkahan mereka. – HIBGLAM