KRUNIVERSE, syarikat milik penyanyi Datuk Norman Abdul Halim kini dalam fasa pembinaan taman tema berkonsepkan filem muzikal fantasi popular, Magika yang dijangka beroperasi pertengahan 2026.
Norman selaku Ketua Pegawai KRU Corp, berkata, idea tersebut direalisasikan atas permintaan terhadap sekuel naskhah membabitkan mitos legenda yang mempunyai pengikut tegar sejak ditayangkan 15 tahun lalu.
Ramai mahukan Magika 2 dihasilkan tetapi pada masa sama kami perlukan tapak platform untuk promosi. Kalau setakat media sosial sahaja tak cukup, kita perlukan lokasi fizikal.
“Jadi sebuah taman tema dirancang, manakala kontrak juga sudah ditandatangani dengan pelancaran (dijangka) pada Mei tahun hadapan, insya-Allah,” katanya selepas majlis kerjasama Kruniverse Sdn. Bhd. dan Unity Trust Berhad, di Putrajaya Wetlands Park, semalam.
Menurutnya taman tema yang menghidupkan watak mitos dan dongeng Melayu seperti dalam Magika dilihat sebagai langkah strategik dalam mengembangkan lagi jenama berkenaan.
Berkongsi lagi berkenaan status projek mega terbabit yang dibina di Lembah Klang, Norman mengesahkan fasa pembinaannya berjalan lancar mengikut jadual.
Struktur asas sudah ada. Sekarang rakan strategik kami sedang menyediakan tender untuk pembekalan elektrik.
“Kerja infrastruktur juga dapat disempurnakan hujung tahun ini, manakala pemasangan aset pula dijangka sekitar Januari 2026,” jelasnya.
Dedah Norman lagi, taman tema itu tidak akan menampilkan permainan ekstrem seperti konsep taman tema lain kerana mempunyai fokus yang berbeza.
Konsep kita adalah ‘edutainment’ atau didik hibur, bukan macam taman tema yang menyediakan ‘rollercoaster’. Kita mahu mendidik dan pada masa sama menghiburkan,” ujarnya.
Filem Magika adalah karya fantasi muzikal arahan Edry Abdul Halim yang menghimpunkan pelbagai watak ikonik legenda dan dongeng Melayu.
Naskhah yang menjadi fenomena pada 2010 itu membariskan pelakon Diana Danielle, Mawi, Ziana Zain, Ning Baizura, Maya Karin, dan Datuk Jalaluddin Hassan.
Magika juga diangkat sebagai Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) sekali gus mengesahkan statusnya sebagai karya yang relevan sehingga ke hari ini. – HIBGLAM