PELAKON popular, Mimi Lana memasang impian untuk memiliki anak kembar bersama suaminya, Syafiq Kyle.
Menerusi hantaran Mimi atau nama sebenarnya Mimi Rozaiana Zainal Abiding, 30, dalam Threads, dia memohon agar pengikutnya mendoakannya mendapat bayi kembar.
Boleh tak nak minta semua orang doakan saya dapat baby twins (bayi kembar). Orang cakap kalau ramai doakan senang termakbul,” tulisnya.
Hantaran tersebut telah mendapat respons daripada ribuan netizen dan beratus-ratus doa telah diutuskan kepadanya.
“Amin. Semoga Mimi dan Syafiq dikurniakan sepasang anak kembar yang comel, kacak dan cantik seperti ibu dan bapa mereka,” komen netizen.
Terharu dengan doa-doa tersebut, pelakon drama Andai Tiada Dia itu mengucapkan ribuan terima kasih atas doa peminat dan tips mendapat anak kembar.
Terima kasih semua untuk nasihat yang baik dan tips untuk dapat bayi kembar. Gembiranya saya. Tolong kongsi banyak lagi.
“Semoga segala doa yang baik berpatah balik untuk anda semua. Semoga kita sentiasa diberikan rezeki yang luas, diberikan nikmat bersyukur dan kesihatan yang baik oleh Allah SWT. Sayang semua,” tulisnya.
Untuk rekod Mimi dan Syafiq bernikah pada 14 Februari lalu dalam sebuah majlis tertutup di Taiping, Perak. – HIBGLAM