PELAWAK dan usahawan, Shuib tampil menjernihkan kekeliruan apabila mengesahkan kereta jenis Toyota CHR berwarna kuning miliknya ditunda pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akibat kesalahan parkir, bukannya dicuri seperti disangka ramai.
Enggan memanjangkan isu tersebut, Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad, 41, berkata, kenderaan tersebut sudah ditemui dalam keadaan baik selepas disimpan pihak berkuasa tempatan.
“Kereta itu sebenarnya hanya salah letak sahaja. Saya tak mahu panjangkan cerita.
Hanya ‘misplace’ sahaja dan sekarang sudah dijumpai. Di seksyen berapa saya tak ingat, tapi ini memang salah parkir sahaja.
“Mamat yang beritahu saya kereta itu ada di MBSA,” katanya kepada HibGlam.
Mengulas keprihatinan orang ramai yang turut membantu mencari kenderaan tersebut, Shuib mengakui rakyat Malaysia memang terkenal dengan sikap suka membantu.
“Ya memang ramai cakna, mereka hendak tolong carikan.
Untuk yang kecam dan beri pelbagai andaian itu macam mana lagi, hadap sahaja. Saya okey sahaja. Itu bukan kereta kesayangan, itu kereta untuk hantar anak ke sekolah,” ujarnya ketika ditemui di majlis sidang media program terbaharu Astro, Talk To My Manager, hari ini.
Terdahulu, Shuib memaklumkan dalam Instagram bahawa keretanya hilang di sebuah kawasan parkir di Shah Alam selepas selesai berurusan di Mahkamah Shah Alam.
Ketika itu, dia tidak pasti sama ada kenderaan tersebut ditarik atau dicuri, lalu meminta bantuan orang ramai untuk mencarinya. – HIBGLAM