LEBIH daripada sedia, suami kepada penyanyi Zehra Zambri, Nur Mohd. Iqwan Samsudin akan menceraikan isterinya namun bergantung kepada keputusan Majlis Tahkim, hari ini.
Kata kakitangan sebuah stesen televisyen itu, Majlis Tahkim merupakan usaha mahkamah bagi mencari jalan perdamaian atau menentukan sama ada perlu perceraian atau sebaliknya.
Saya memang akan ceraikan dia (Zehra), macam mana keadaan sekali pun. Saya boleh ceraikan dengan talak raj’ie (masih boleh rujuk dalam tempoh iddah).
“Tapi kalau tak sampai sebarang persetujuan, hak bercerai itu akan diberikan kepada mahkamah yang dipanggil talak ba’in.
“Cuma, sama ada kes perceraian dapat selesai pada hari ini, bergantung pada Majlis Tahkim,” katanya yang ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, hari ini.
Pada masa sama, Iqwan juga teguh dengan pendirian menuntut isterinya menggugurkan empat daripada lima tuntutan yang dikemukakan kepada mahkamah.
Antara tuntutan Zehra adalah tiada persefahaman, culas menjalankan tanggungjawab, sikap suami, pengabaian dan perkahwinan yang sudah tidak dapat diselamatkan.
Katanya penguguran tuntutan tersebut perlu kerana jika tidak dipenuhi ia bakal mendatangkan kesan perundangan terhadap dirinya.
Saya minta dia ubah tuntutan. Saya tak nak cakap banyak dalam hal ini sebab ada implikasi undang-undang jika tuntutan tak diubah.
“Contohnya, dia cakap saya mengabaikan dirinya sedangkan saya tak buat semua benda disebutkan,” ujarnya.
Pada prosiding mahkamah 10 April lalu, Iqwan mendakwa alasan Zehra memohon cerai kerana berdepan tekanan emosi dan kegagalan melindungi dari segi mental serta fizikal sebagai tidak masuk akal.
Bahkan Iqwan mendakwa dirinya yang menjadi mangsa keganasan apabila menyatakan empat kali dipukul sehingga mengalami kecederaan fizikal dan terpaksa mendapatkan rawatan serta membuat laporan polis.
Terdahulu, pada Mac lalu Zehra memfailkan cerai secara ‘fast track’ terhadap suaminya selepas mendakwa berkorban mempertahankan rumah tangga selama tiga tahun.
Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 11 November 2021 dengan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang kini berusia dua tahun.
Sebelum itu, Zehra pernah berkahwin dengan Wan Muhammad Nurhariz Hariri pada 14 Oktober 2017, namun ikatan itu hanya bertahan selama enam bulan sebelum bercerai pada April 2018.
Iqwan juga pernah mendirikan rumah tangga dengan wanita lain sebelum menikahi Zehra dan memiliki dua cahaya mata daripada perkahwinan terdahulu. – HIBGLAM