PENAT lelah bekerja membuahkan hasil apabila pempengaruh Mekyun akhirnya dapat membeli rumah idaman.
Bangga dengan pencapaian tersebut, Mekyun atau nama sebenarnya Wee Yun Nee, 28, tidak sabar mahu memulakan kehidupan di kediaman pertamanya yang dipercayai terletak di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur.
“Saya raih satu lagi pencapaian. Akhirnya, saya beli rumah pertama.
Antara sebab saya pilih duduk sini sebab dekat dengan rumah Mok (ibu) dan Pok (bapa).
“Tak sabar nak kongsi perjalanan rumah baharu dengan kalian semua. Saya sangat gembira dan berbangga dengan diri sendiri,” katanya dalam hantaran TikTok.
Pada masa sama, dia turut menitipkan pesanan kepada kaum wanita supaya tidak bergantung kepada sesiapa terutamanya suami untuk menyediakan tempat tinggal.
“Ingat tau kepada semua perempuan di luar sana, jangan tunggu suami atau sesiapa pun untuk sediakan rumah buat kita.
Mulakan menabung dari sekarang. Pastikan kita ada rumah dan aset sendiri supaya masa depan kita, kita yang kawal.
“Perempuan yang percaya dan berusaha untuk diri sendiri, dia boleh capai apa saja yang dia impikan.
Selain menerima ucapan tahniah, ramai bersetuju dengan pendirian Mekyun bahawa wanita harus berdikari dan memiliki aset sendiri tanpa mengharapkan sesiapa.
“Setuju, wanita memang perlu ada rumah sendiri. Kecil pun tak apa asalkan harta sendiri,” kata peminat.
“Betul Mekyun, perempuan sekarang kena berdikari walaupun ada pasangan sebab mereka hanyalah pinjaman dari Tuhan,” ujar pengikut.
“Muda-muda lagi beli rumah dulu. Itu yang penting, aset harta tak akan turun harga sebab makin lama makin mahal,” jelas peminat. – HIBGLAM