‘Mahu lancar banyak lagu, cuma saya perlukan masa’

KALI terakhir muncul dengan bingkisan album studio menerusi Boneka pada 2017, ratu jazz tanah air, Datuk Sheila Majid tidak menolak untuk melahirkan diskografi terbaharu dengan kemunculan single terkini, Moving On.

Bagaimanapun, Sheila atau nama sebenarnya, Shaheila Abdul Majid, 60, memaklumkan, zaman sekarang melahirkan album penuh bukan suatu perkara yang mudah kerana banyak perkara yang perlu dipertimbangkan.

“Sebenarnya, saya merancang untuk buat (lancarkan) lebih banyak lagu, tapi saya perlukan masa.

Nak dijadikan cerita, dalam pada kesibukan membuat persiapan konsert Sheila Majid: 40 Years in Music, ada orang cakap lagi seronok kalau ada lagu baharu.

“Kemudian, Universal Music datang kepada saya dan cadangkan sama ada saya berminat untuk rakam lagu yang diterbitkan komposer asing tak kenal siapa dan tak pernah dengar lagu saya.

Saya suka bekerja dengan orang baharu supaya boleh dihadirkan idea-idea yang tak pernah dibentangkan sebelum ini,” ujarnya kepada HibGlam baru-baru ini.

Moving On edaran Universal Music Malaysia merupakan single baharu Sheila yang mendapat sentuhan Hyuk Shin, Cuurley dan SYA sementelah lirik turut mendapat ilham daripada dirinya sendiri.

Moving On bukan sekadar lagu baharu, karya berkenaan menandakan cerminan perjalanan peribadi seorang legenda.

Membawa mesej penyembuhan, kekuatan dan kebebasan, Moving On diolah dengan muzik era disko yang segar serta sentuhan nu-disco kontemporari.

“Saya tidak kejar trend, saya mengejar rasa dan jiwa.

“Lagu ini memberikan saya ilham untuk terus berkarya kerana saya saksikan dunia kini telah berubah. Begitu juga saya. Tetapi saya tetap kenal dengan diri saya,” ujarnya.

Selepas era pandemik, Sheila menyedari bahawa karya lamanya khususnya Sinaran – mula mendapat perhatian generasi muda. Ini memberi inspirasi buatnya mahu berkarya dan menyatukan dua dunia melalui muzik.

Moving On juga mengisahkan tentang jiwa, terutamanya buat generasi muda yang masih mencari identiti dan siapa mereka di tengah kesibukan dunia digital.

Karya rancak itu mengajak pendengar untuk meninggalkan kekecewaan dan terus mara ke hadapan, menyeru kepada semangat percaya diri dan kebebasan emosi, terutama dalam dunia digital yang penuh tekanan hari ini.

Mood board lagu ini sarat dengan inspirasi era kegemilangan Donna Summer dan Diana Ross, sejajar dengan kecintaan Sheila terhadap groove tahun 80-an. Irama city pop yang kini kembali popular dalam kalangan generasi muda bukanlah asing buat Sheila – kerana di situlah akar muziknya bermula. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok