Lebih sengit, Kilauan Emas 2025 pamer variasi persembahan mantap

MEMPERKUKUH komitmen mengangkat bakat tempatan, Astro kembali dengan Kilauan Emas 2025 yang dijadualkan mula ditayangkan bermula 16 Ogos ini.

Antara pembaharuan strategik diperkenalkan bagi pertandingan nyanyian realiti yang sudah memasuki musim kelapan itu adalah penurunan had umur penyertaan kepada 43 tahun.

Pengurus Saluran Astro Prima, Idlan Zahari, berkata, perubahan diperkenalkan adalah bagi memberi lebih ramai bakat baharu dalam kalangan generasi lama untuk menonjolkan bakat serta vokal mereka.

Uji bakat ‘tarik’ 500 orang

“Edisi kali ini menyaksikan penambahbaikan ketara dari segi kriteria penyertaan serta format produksi terutama membabitkan usia calon yang sebelum ini dibuka untuk individu berumur 45 tahun, iaitu kepada 43 tahun.

“Selaku pengelola, kami juga kami amat berbesar hati dengan sambutan yang diterima apabila sesi uji bakat tempoh hari dihadiri sekitar 500 peserta.

“Sekali gus membuktikan Kilauan Emas bukan sekadar program hiburan, malah merupakan medium menyatukan rakyat Malaysia melalui muzik, budaya dan aspirasi,” katanya pada majlis memperkenalkan barisan peserta, baru-baru ini.

Erra Fazira sebagai juri tetap selain Roy Azman dan Ning Baizura.

Pada masa sama, Idlan turut menzahirkan keterujaan pihaknya menerima 12 peserta yang layak melepasi saringan, seterusnya bakal memulakan cabaran di pentas pertandingan tersebut.

“Melihat latar belakang peserta, setiap seorang mempunyai cerita tersendiri dan ada antaranya hadir daripada keluarga yang terbabit dalam industri seni.

“Secara tidak langsung, program realiti itu pada musim ini bakal menjanjikan persaingan lebih sengit dengan variasi persembahan mantap,” ujarnya.

Kakak Achik Spin peserta

Peserta yang mencuri perhatian termasuklah kakak sulung kepada penyanyi Achik Spin, Nurul Azua Md. Shari, selain ibu kepada anggota kumpulan Alpha, Ray-D iaitu Leeza.

Pencabar lain berusia hingga 65 tahun ialah Zanie, Shah, Kinar, Mazleen, Majid, Ben, Ezan, Zekrai, Nawary dan Vijay yang juga sama hebat dan mempunyai potensi bergelar juara.

Pada masa sama, Idlan turut menyatakan pembaharuan merangkumi penglibatan juri awam termasuk wartawan sehingga pelanggan setia Astro.

Bahkan katanya, pendekatan penceritaan yang lebih beremosi, menjadikan Kilauan Emas sebagai platform utama untuk golongan otai menyerlahkan potensi sebenar mereka.

“Sesi uji bakat yang berlangsung di Sarawak, Johor dan Lembah Klang pada Mei dan Jun lalu menilai beberapa aspek termasuk kekuatan vokal serta bakat dalam persembahan pentas lain seperti lakonan dan tarian,” ujarnya.

Elly Mazlein bertindak selaku hos utama, bersama Joey Daud sementelah kerusi juri diisi Erra Fazira, Roy Azman dan Ning Baizura.

Kilauan Emas musim lapan yang bersiaran di Astro Prima pada setiap Sabtu juga menampilkan Keanu Azman dan Sarah Karmila sebagai hos Live+. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok