Konsert GenKRU Pulau Pinang batal, enggan ‘downgrade’ pengalaman peminat

URA-URA pembatalan penganjuran Konsert GenKRU di Pulau Pinang pada akhir bulan ini terjawab apabila anggota KRU, Datuk Norman Abdul Halim mengesahkan persembahan mega tersebut tidak akan diteruskan.

Norman, 54, berkata keputusan itu diambil demi menjaga kualiti serta impak yang dicetuskan konsert empat hari berturut-turut di Bukit Jalil Kuala Lumpur sebelum ini juga merupakan penanda aras buat mereka bertiga.

“Keputusan itu bukanlah kerana enggan melayan peminat di utara atau lokasi lain, tetapi lebih kepada kebimbangan tidak mengulangi format persembahan sama secara berterusan.

Konsert GenKRU sudah menjadi penanda aras yang sangat tinggi, sekali gus kami tidak mahu menurunkan tahap yang kami cipta sendiri (downgrade).

“Kami tidak mahu kecewakan peminat apabila mereka hadir ke lokasi yang kami terpaksa ‘downgrade’,” katanya selepas pengumuman kerjasama Kruniverse Sdn. Bhd. dengan Unity Trust Berhad, di Putrajaya Wetlands Park, hari ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KRU Corp Sdn. Bhd. itu, penganjuran konsert di lokasi selain Kuala Lumpur secara logiknya akan melibatkan kos produksi dan harga tiket yang lebih rendah sekali gus boleh menjejaskan skala serta nilai keseluruhan produksi.

Menurut Norman, dia bersama dua saudara lain iaitu Datuk Yusry serta Edry bimbang andai konsert dengan skala lebih kecil mengundang perbandingan daripada peminat yang sudah menyaksikan kemegahan Konsert GenKRU pada Mei lalu.

“Di Axiata Arena sebelum ini menggunakan teknologi canggih seperti pentas hidraulik serta banyak lagi sokongan lain bagi merealisasikan sebuah persembahan mega yang tidak dapat dilupakan penonton.

Kami tak nak peminat kata, ‘Alah, kat KL (Kuala Lumpur) lagi best lah’. Kami tidak mahu wujud perasaan seperti itu. Kami sendiri sudah rasakan perkara sama ketika tampil di Singapura,” ujarnya.

Norman turut mengakui skala persembahan di Kota Singa pada Jun lalu juga sememangnya jauh berbeza berbanding di Kuala Lumpur di mana jualan tiket secara teknikalnya mencecah 40,000 unit untuk empat malam persembahan.

Kongsinya lagi, KRU berpendapat mereka wajar berehat seketika daripada meneruskan konsert, sebaliknya merancang konsep baharu dari segi senarai lagu atau format persembahan untuk masa akan datang.

Yusry dan Edry sangat teliti serta tidak gemar melakukan perkara sama berulang kali terutama jika peminat sudah boleh menjangkakan setiap gimik yang bakal dipersembahkan.

“Zaman sekarang ini, semua orang sudah tengok dan rakam. Jadi susah untuk kami buat gimik serupa. Kalau dahulu, kami boleh buat jelajah seluruh negara dengan jenaka dan persembahan sama,” jelasnya.

Mengenai kemungkinan mengecewakan peminat di utara tanah air, Norman memaklumkan sudah membuat pengumuman secara tidak rasmi di media sosial sekitar bulan lalu.

Konsert GenKRU tempoh hari sebagai satu kenangan terstimewa dan biarlah ia kekal begitu. Jangan cuba ulang kembali kegemilangan itu,” ujarnya.

Terdahulu, konsert GenKRU yang dipentaskan empat malam di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Mei lalu diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sekali gus melakar sejarah buat trio berkenaan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok