USAHAWAN terkenal, Christy Ng, mengakui terpaksa menebalkan muka demi menghasilkan kandungan kreatif bersama pasukannya yang kini dikenali sebagai The Bengap Brothers.
Pada awalnya, Christy, 37, berkata dia berasa kekok beraksi di hadapan kamera, namun segalanya berubah apabila mula membiasakan diri dan berani menjadi diri sendiri tanpa berpura-pura.
“Mula-mula memang rasa janggal. Saya terpaksa tebalkan muka macam dinding, buat sahaja dan fikir kesannya kemudian.
“Kalau malu atau segan, memang tak akan dapat tarik perhatian. Jadi, kami pilih untuk jadi diri sendiri, dan orang ramai pun suka sebab ada unsur kelakar,” katanya kepada HibGlam.
Tambah Christy, objektif utama kandungan yang dihasilkan adalah untuk menghiburkan penonton sambil menyampaikan mesej positif.
Lebih manis, populariti tersebut turut membuka ruang untuk orang mengenali sisi berbeza dirinya.
“Ramai anggap saya berusia lebih 50-an dan seorang yang garang sebab muka nampak serius. Sebenarnya saya santai, malah agak ‘gila-gila’.
“Saya setuju bila orang kata bila buat konten dengan mereka, sisi humor saya mula menyerlah,” ujarnya.
Mengulas mengenai gelaran The Bengap Brothers, Christy menjelaskan nama itu tercetus secara tidak sengaja malah bermula daripada sebuah parodi terhadap filem popular Blood Brothers, sebelum akhirnya tular dan menjadi panggilan mesra dalam kalangan netizen.
“Kami buat parodi main hentam sahaja, tak sangka pula boleh viral.
“Akhirnya, peminat pula yang menggelarkan pekerja saya sebagai The Bengap Brothers.
“Siap ada yang kata rupa mereka eksotik! Selepas ini, saya rancang nak perkenalkan pula Bengap Sisters,” ujarnya pada acara pembukaan semula butik utamanya di MyTown Shopping Centre, baru-baru ini.
Pembukaan semula itu dianggap sebagai satu pencapaian penting buat jenama Christy Ng yang kini agresif mengembangkan sayap di pasaran Asia Tenggara.
Selepas kejayaan pelancaran butik utama di Jakarta, Indonesia pada Februari lalu, jenama tersebut bakal menembusi pasaran Filipina dengan pembukaan butik di Manila pada Oktober ini, sekali gus mengukuhkan misi membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa. – HIBGLAM.