PELAKON Fattah Amin meminta ibunya, Azizah Abdul Ghani tidak membaca komen negatif dalam media sosial berkaitan dakwaan menggelar cucunya, Fatima Aisya tidak comel.
Fattah, 35, berkata, ibunya meluahkan rasa sedih apabila menjadi mangsa kecaman netizen berhubung isu tersebut.
“Pastilah dia rasa sedih, tapi saya cakap tak perlu baca dan dengar perkara begini. Sebab benda-benda ini orang luar tak tahu apa yang berlaku.
Orang luar boleh buat andaian, cakap macam-macam benda dan fitnah yang mereka mahu.
“Tapi kesimpulannya, kalau benda-benda itu tak betul, kita jangan rasa bersalah dan usah terkesan sebab benda itu tidak betul,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran koleksi terbaharu dan pengumuman duta baharu jenama Amber, hari ini.
Dalam masa sama, sebagai bapa, Fattah mengakui terkesan apabila wujud isu melibatkan anak perempuannya yang baru berusia lima tahun.
Dia juga berharap peminat berhenti mengeluarkan sebarang komen yang mengundang fitnah dan persepsi negatif.
“Sebagai ayah dan anak, saya rasa kesal bila benda-benda begini berlaku kepada ahli keluarga saya.
Saya juga selalu nasihatkan peminat agar hati-hati dalam mengeluarkan sebarang komen. Kalau nak komen sekali pun, cakaplah benda yang baik-baik.
“Tapi kita tidak boleh nak kawal semua orang nak taip, cakap dan fikir,” ujarnya.
Mengulas mengenai hubungan Fatima dengan ibunya, Fattah berkata semuanya dalam keadaan baik dan tidak perlu diperbesar-besarkan.
Setakat ini Fatima tidak menunjukkan sebarang reaksi atau emosi negatif. Hubungan kami sekeluarga semuanya masih okey dan tiada masalah.
“Jadi, berhentilah buat andaian yang negatif sebab tidak bagus untuk semua pihak,” ujarnya lagi.
Hari ini, Fattah tampil menjernihkan keadaan dengan memuat naik video memaparkan Fatima berbual mesra dengan neneknya melalui panggilan video.
Terdahulu, tular rakaman siaran langsung memaparkan Fatima mengadu kepada ibunya, pelakon Nur Fazura dengan mendakwa neneknya berkata dia tidak comel dan tidak pandai.
Namun, Fazura menafikan dakwaan tersebut dengan nada tenang serta menjelaskan mustahil ibu mentuanya tergamak melontarkan kata-kata sedemikian.
Adik Fattah, Raihan Amin, turut tampil menolak tuduhan yang mendakwa ibunya, Azizah Abd Ghani, mengeluarkan kata-kata negatif terhadap cucu kesayangannya. – HIBGLAM