Bekas editor URTV, Rosli Manah meninggal dunia

DUNIA kewartawanan hiburan kehilangan seorang lagi bekas wartawan terkenal Kumpulan Utusan, Mohd. Rosli Manah atau lebih mesra dipanggil Che Li, yang meninggal dunia pada pada pukul 12.59 tengah hari tadi.

Allahyarham Che Li, 57, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kajang selepas berjuang melawan jangkitan kuman pada otak sejak beberapa minggu lalu.

Sebelum ini isterinya, Asma Ghani, 51, berkata, tahap kesihatan Che Li semakin merosot sejak kebelakangan ini akibat diabetes dan seterusnya melarat sehingga mengalami jangkitan kuman pada otak.

Tambah Asma, doktor telah melakukan dua kali pembedahan bagi mengambil sampel air tulang belakang bagi mengenal pasti punca jangkitan itu.

Selepas meninggalkan Utusan Karya Sdn. Bhd. melalui skim Pemberhentian Secara Sukarela (VSS), Rosli mencari rezeki dengan menjual nasi berlauk serta menjadi pemandu e-hailing.

Namun, keadaan kesihatan yang semakin lemah membuatkannya tidak lagi mampu bekerja seperti biasa.

Sepanjang berkhidmat di Utusan Malaysia, Allahyarham pernah menjadi wartawan mahkamah dan hiburan sebelum dilantik sebagai Editor URTV serta Editor Mangga di bawah Utusan Karya Sdn. Bhd., anak syarikat Utusan Melayu (M) Berhad.

Terdahulu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pernah menziarahi arwah di hospital sambil mengenang jasa Che Li yang banyak menyokong kerjaya anaknya, Dafi, ketika penyanyi itu menyertai Akademi Fantasia musim kelima pada 2007. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok