DALAM proses menuntut perceraian, penyanyi Datuk Nora Ariffin tetap membuka pintu rumah kepada suaminya, Dr Rushdi Ramli atas dasar masih berstatus suami isteri.
Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Wan Ariffin, 52, berkata, selagi belum sah bercerai, dia tiada hak menghalang lelaki terbabit daripada pulang ke kediaman mereka.
“Saya sangat sibuk. Jadi, saya memang tidak ambil kisah sama ada dia datang atau tidak, saya tidak ambil peduli.
Tetapi sebagai orang Islam, selagi tidak bercerai, saya tidak ada hak untuk menghalaunya. Berdosa pula saya kalau buat macam itu.
“Kita perlu menghormati. Walau bekas suami sekalipun, kita kena ada rasa hormat. Itulah prinsip saya. Selagi masih suami isteri, tidak boleh tutup pintu, berdosa,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, hari ini.
Mengenai perhubungan antara anak-anaknya dengan Rushdi, Nora berkata, mereka juga sentiasa menghormati lelaki yang dipanggil walid itu sehingga ke hari ini.
“Anak-anak berhubung seperti biasa dengannya. Mereka sedar dengan situasi dilalui kami ketika ini. Tiada halangan pun.
Saya selalu pesan pada anak-anak, kita tidak mahu bergaduh. Anak-anak pun berpendirian sama, walau apa pun yang berlaku, mereka tetap hormat walid.
“Selama ini pun saya tidak pernah mengajar anak-anak untuk membenci atau bermusuh. Itu tidak boleh,” ujarnya.
Hari ini, Nora dan Rushdi hadir ke mahkamah untuk proses laporan Jawatan Kuasa Pendamai (JKP) dan mahkamah menetapkan tarikh 3 September bagi proses hakam.
Nora ditemani kakak angkatnya, Rafeah Ariffin yang dipilih sebagai wakilnya, manakala Rushdi pula hadir bersendirian. – HIBGLAM