‘Tak betul, ibu sangat sangat sayang semua cucunya’

Adik kepada pelakon Fattah Amin iaitu Raihan Amin menafikan dakwaan bertebaran kononnya ibu tersayang, Azizah Abd. Ghani melemparkan kata-kata negatif terhadap cucunya sendiri, Nur Fatima Aisya.

Pada masa sama, Raihan turut memaklumkan ibunya sangat menyayangi semua cucunya selain kerap memuji kepetahan Fatima berbahasa Inggeris.

“Tak betul, ibu sangat sayang semua cucunya. Tidak pernah ajar cakap perkara tak baik dan menipu.

“Selalu puji Fatima pandai berbahasa Inggeris,” katanya dalam ruangan komen.

Penjelasan tersebut tercetus selepas seorang individu tampil mengajukan soalan mengenai dakwaan terbabit.

“Betul ke ibu cakap Nyamma (Fatima) tak pandai dan tidak comel? Mohon pencerahan isu ini (bertanya dalam nada lembut),” soal netizen.

TANGKAP layar komen Raihan yang menepis dakwaan fitnah terhadap ibunya.

Sebelum ini, tular sebuah rakaman video siaran langsung memperlihatkan Fatima mengadu kepada ibunya yang juga aktres, Nur Fazura mengenai dakwaan Nenda (Azizah) melemparkan tuduhan negatif.

Dalam siaran langsung tersebut, Fazura dengan tenang memberikan respons dengan menidakkan perkara terbabit selain memaklumkan Nenda tidak mungkin berbuat demikian.

Untuk rekod Fattah sah bercerai talak satu dengan Fazura pada 7 Oktober 2024 selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia lima tahun.  – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok