‘Saya kongsi tangkap layar, ini hanya sebahagian kecil…’

Pelakon sensasi, Sophia Albarakbah tampil menjelaskan punca dia membuat laporan polis berhubung isu buli siber dan gangguan seksual yang dialaminya.

Sophia atau Sharifah Sophia Syed Abdul Rahman, 32, berkata, keputusan itu bukan kerana ingin meraih publisiti murahan atau membalas dendam tetapi, demi keselamatan dan mempertahankan maruah dirinya sebagai seorang wanita.

“Saya tahu ada yang bertanya, kenapa saya buat laporan polis? Bitter? Gila publisiti? Tegakkan benang basah? Tidak!

“Tapi sebab buli siber dan gangguan seksual bukan perkara main-main. Ini bukan gurauan atau komen semata-mata,” katanya menerusi hantaran terbaharu dalam Instagram.

Dalam pada itu, kata Sophia, dia sudah menerima ribuan mesej dan komen berunsur fitnah, lucah, hinaan serta ugutan daripada ramai pihak sehingga menjejaskan emosinya.

Malah, bintang drama Suamiku Lelaki Pendosa itu turut memuat naik bukti tangkap layar penghinaan, ugutan ekstrem termasuk gangguan seksual.

Sophia mendedahkan tangkap layar gangguan seksual dan penghinaan diterimanya di media sosial.

“Bagi sesetengah mungkin perkara kecil, tetapi bagi saya kata-kata itu melukakan, meninggalkan kesan mendalam, merosakkan emosi dan menjatuhkan maruah saya sebagai wanita dan manusia.

“Saya kongsi beberapa tangkap layar mesej dan komen yang diterima. Ini cuma sebahagian kecil, yang lain jauh lebih teruk. Saya bukan nak memalukan sesiapa, tetapi mahu tunjuk realiti yang berlaku di alam maya,” ujarnya.

Tambah Sophia, tindakan membuat laporan polis itu juga bagi memberi mesej jelas wanita berhak mendapat perlindungan di bawah undang-undang.

“Ini bukan soal membalas dendam. Ini soal perlindungan, keselamatan dan maruah. Diam tidak akan mengubah apa-apa.

“Kepada semua yang pernah melalui perkara sama, anda tidak keseorangan, dan kepada mereka yang masih menyebarkan kebencian, ingatlah, kata-kata anda boleh meninggalkan parut yang tidak akan hilang,” katanya.

Jumat lalu, Sophia hadir ke Balai Polis Travers, Kuala Lumpur untuk membuat laporan rasmi berhubung insiden tersebut.

Sebelum ini, Sophia meluahkan rasa kesal apabila kisah silamnya yang dikaitkan sebagai orang ketiga dalam rumah tangga penyanyi Bella Astillah dan pelakon Aliff Aziz kembali diperkatakan sehingga mencetuskan semula kecaman netizen.

Kecaman terhadap Sophia kembali memuncak selepas insiden kekok di sebuah acara hiburan pada malam Ahad lalu ketika Bella menyampaikan trofi bagi kategori yang dimenanginya.

Semalam, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, siasatan belum dapat diklasifikasikan di bawah mana-mana seksyen undang-undang kerana Sophia belum menyerahkan bukti kukuh seperti pautan atau maklumat yang mengaitkan pihak tertentu dengan ugutan atau kecaman diterimanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok