‘Jarang buka dah.. Media sosial sekarang makin toksik’

Pelakon sensasi Ruhainies mengakui segala kecaman teruk yang dilemparkan terhadapnya dalam media sosial merupakan satu bentuk buli terbesar dalam hidup.

Disebabkan itu, pemilik nama penuh Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 33, itu memilih untuk tidak membaca komen dan hanya menggunakan media sosial bagi mempromosikan sebarang projek melibatkan dirinya.

Sekarang ini media sosial pun saya dah jarang buka. Saya memilih untuk tidak baca komen kerana terlalu banyak yang toksik.

“Apa yang saya perhatikan, bukan saya seorang saja yang menghadapinya tetapi orang awam dan selebriti lain juga turut jadi mangsa.

“Cuma mungkin sebab saya selebriti, jadi kecaman itu memang lebih teruk.

“Semakin hari saya lihat pengguna media sosial makin merepek dan melampau. Dulu lebih relaks dan santai tetapi bertukar toksik mungkin disebabkan faktor ekonomi dan kesihatan mental,” katanya yang ditemui di Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) di sini, semalam.

Ujarnya, fokusnya kini tertumpu untuk mencari rezeki selain percaya ada ganjaran besar menantinya selepas melalui pelbagai ujian yang menimpanya.

Dalam pada itu, dia yang kini kembali aktif berlakon mengakui teruja apabila bakal kembali ke lokasi penggambaran setelah hampir setahun berehat.

“Memang teruja apabila berpeluang berlakon semula selepas hampir setahun juga berehat. Saya hanya berehat daripada dunia lakonan tetapi kempen untuk media sosial tetap berjalan seperti biasa.

“Insya-Allah ada lagi beberapa projek akan datang,yang akan saya umumkan dalam media sosial tak lama lagi.

Saya pun baru selesai satu projek bersama TV3. Saya rasa dah lama sangat berehat jadi dah tiba masanya untuk saya kembali berlakon,” jelasnya.

Terdahulu, Ruhainies menerusi satu hantaran Instagram memaklumkan akan membuat laporan polis terhadap individu yang menyebarkan fitnah kononnya dia dibela lelaki kaya.

Ruhainies juga antara selebriti yang kerap dihujani dengan kecaman dalam media sosial sehingga ke hari ini.

Antara pencetus utama dia sering menjadi mangsa netizen adalah selepas ditangkap khalwat dengan penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz pada Mac tahun lalu di kediamannya di ibu negara. –

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok