‘Buli tak dapat dibendung, berani ya kamu semua!’

Tidak henti bersuara, pelakon Mimi Lana meluahkan rasa kecewa terhadap insiden buli melibatkan Zara Qairina yang jelas membuktikan gejala tersebut semakin membimbangkan.

Lebih menyedihkan, Mimi atau nama sebenarnya Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 30, sering menjumpai video pelajar dibuli tular dalam media sosial.

“Kes adik Zara hari ini membuktikan masalah buli dan sosial di negara kita sudah tidak dapat dibendung lagi.

“Di FYP (for you page TikTok) saya hari ini bukan satu, tapi lebih 10 video dirakam sendiri oleh pembuli dari berlainan sekolah.

“Berani ya kamu semua? Hancur hati saya, apatah lagi hati ibu bapa yang mengharapkan masa depan anak mereka,” katanya dalam Threads.

Pada masa sama, pelakon filem The Experts itu turut menggesa kerajaan tidak memandang ringan perkara tersebut supaya tidak berulang.

“Kerajaan mesti ambil maklum dan jangan sekali-kali ambil mudah apa yang berlaku. Semalam, ribuan rakyat Sabah turun ke padang demi solidariti.

“Kita tak mahu lihat perkara ini berulang. Sama ada perangai buli bermula di rumah atau di sekolah, kita semua bertanggungjawab untuk bersatu dan menghapuskan gejala ini.

“Ini tentang masa depan generasi kita. Buli bukan budaya dan normal,” jelasnya.

Dalam hantaran tersebut, isteri kepada pelakon Syafiq Kyle itu turut meninggalkan beberapa tanda pagar seperti Justice For Zara (Keadilan buat Zara), Stop Bullying (Berhenti buli), Save Our Children (Selamatkan anak kita) dan Justice For All Victims (Keadilan buat semua mangsa) sebagai tanda solidariti.

Mimi antara selebriti yang lantang meluahkan kemarahan, rasa sedih dan kecewa terhadap sistem perundangan berhubung isu buli Allahyarham Zara Qairina kerana gagal melindungi mangsa walaupun sudah berkali-kali memberi amaran dan menyebut nama pembuli yang menyeksanya.

Ketika ini, #JusticeForZara menjadi trending dalam platform sosial, sebagai simbol solidariti terhadap mangsa dan desakan kepada pihak berkuasa agar tidak memandang ringan isu buli yang semakin membarah dalam kalangan pelajar sekolah. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok