‘Bukan berlagak, beli kereta untuk selesa’

ANDAI disebut satu nama penyanyi wanita tanah air yang memiliki kelantangan vokal memukau dengan jiwa seni menyala-nyala, pastinya nama Ara Johari muncul sebagai antara figura utama.

Semakin ligat memperkukuh jenama, wajah Ara semakin kerap menghiasi pentas acara besar mahupun festival prestij tanah air.

Langkahnya semakin mara dan rezeki turut memihak, buktinya dia sudah mampu memiliki sebuah kenderaan pelbagai guna mewah jenis Toyota Alphard Executive Lounge berwarna hitam.

Namun, seperti biasa, apa yang diraih tidak seiring dengan pandangan orang. Kecaman mula bertiup, kononnya pembelian MPV tersebut sekadar mahu menunjuk-nunjuk dan bermewah tanpa sebab.

Terkejut dengan tuduhan liar, pemilik nama sebenar Nurfarrah Izzatie Johari tampil menjelaskan bahawa kenderaan tersebut dibeli bukan untuk berlagak, tetapi demi keselesaan diri dan seluruh pasukan produksi.

Kenderaan itu satu keperluan, bukan kehendak. Saya dan pasukan selalu menjelajah jauh, contohnya ke Johor, Pulau Pinang, kadang ke Pantai Timur. Kalau tak selesa dalam perjalanan, badan pun cepat letih.

“Jadi saya perlukan kenderaan yang selesa bukan saja untuk saya tetapi pasukan supaya kami dapat berehat dengan selesa dalam perjalanan ke lokasi dan taklah alami sakit-sakit badan lagi,” katanya kepada HibGlam.

Tambah wanita berusia 28 tahun itu, hasrat memiliki MPV tersebut sudah lama terpendam, namun dia hanya berani merealisasikannya selepas yakin dengan kestabilan kewangan dan jadual kerja yang padat.

Ara bagaimanapun menegaskan kenderaan itu bukan dibeli secara tunai, sebaliknya masih berhutang dengan bank dan melunaskan komitmen bulanan seperti orang kebanyakan.

Sebelum ini setiap kali keluar daerah saya akan menyewa saja MPV. Saya kira semula, lebih berbaloi beli sendiri. Setidak-tidaknya kami boleh guna bila-bila masa tanpa perlu menyewa.

“Tambahan pula, saya beli bukan secara tunai pun. Masih berhutang dengan bank macam orang lain juga,” ujarnya.

Dilihat semakin senang dan menjalani hidup mewah, Naib Juara Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33) itu menafikan dirinya kaki boros sebaliknya setiap sen hasil titik peluhnya diurus dengan penuh disiplin.

“Saya memang sangat teliti bab wang, lagi pun saya ada ‘finance’ yang tegas menjaga duit-duit saya.

Saya dapat gaji tetap setiap bulan macam orang lain dan gaji saya tak banyak pun. Sementara duit ‘show’ pula tak boleh digunakan sesuka hati, semuanya dimasukkan ke akaun syarikat.

“Saya pun bukan kaki ‘shopping’ mungkin sebulan atau dua bulan sekali baru saya berbelanja dan saya juga akan dahulukan mana yang penting terlebih dulu,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Ara bakal menggegarkan pentas Konsert Festival Tentang Cinta yang berlangsung malam ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu.

Konsert berskala besar tersebut turut menyatukan penyanyi Malaysia dan Indonesia seperti Andmesh Kamaleng, Ziva Magnolya, Hael Husaini, Adira Suhaimi dan Mary Grace. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok