BERKUNJUNG ke tayangan perdana filem animasi bernuansa komedi ‘heist’ dengan ingatan samar-samar betapa hebatnya naskhah pertamanya, Bad Guys 2 ternyata membuktikan tidak semua sekuel berakhir dengan kegagalan.
Bad Guys 2 berjaya mengekalkan momentum atau barangkali lebih baik daripada filem pertama lelucon yang kaya ‘punchline’, animasi ‘top tier’ dan plot penceritaan yang tidak merompak identiti atau mesej asal filem.
Pelakon alih suara yang setia menganggotai Bad Guys iaitu Mr. Wolf (Sam Rockwell), Mr. Snake (Marc Maron), Mr. Shark (Craig Robinson), Mr. Piranha (Anthony Ramos) dan Ms. Tarantula (Awkwafina) faham tugasan masing-masing sekali gus berjaya menghidupkan terjemahan cerita tanpa cela.
Meluaskan galaksi alur cerita, sinergi Bad Guys 2 ‘disambut’ dengan kehadiran kumpulan ‘heist’ Bad Girls terdiri daripada Kitty Kat, Doom dan Pigtail Petrova.

KARYA sekuel ini meesih pujin ramai bahkan dikatakan lebih menghiburkan daripada edisi pertamanya.
Olahan karakter-karakter ahli Bad Girls terus menghidupkan jenama filem animasi kesayangan dunia tersebut.
Untuk itu, sekalung terima kasih dan tahniah kepada Dreamworks kerana menjayakan kisah ini dengan penuh saksama serta tidak merosakkan perjalanan kisah Bad Guys.
Tak ‘rompak’ hak audiens
Seperkara tentang kualiti Bad Guys yang tidak atau jarang ada dalam kebanyakan naskhah berstatus sekuel zaman sekarang adalah perkembangan cerita.
Beginilah bagaimana sebuah sekuel sepatutnya dipertontonkan kepada umum—masih beridentiti, tidak ‘merompak’ emosi peminat, animasi terus dipertingkatkan dan pengarahan dilepaskan pada tangan mereka yang sewajarnya.

Kisah cinta antara Mr. Snake dan Doom antara yang menarik perhatian peminat
Bad Guys 2.
Dengan itu, lahirlah sebuah sekuel yang mungkin berdiri sebagai sebuah produk animasi (sinonim dengan kanak-kanak), namun kekal melakar magis sekali gus diterima dan dicintai penggemar seluruh dunia.
Kalau tidak, masakan Bad Guys 2 berjaya mencatat kutipan lebih AS$47 juta (RM206 juta) setakat artikel ini dinukilkan.
Kini, antara filem animasi paling ditonton ramai dalam di pawagam seluruh dunia.
Kualiti
Penulis secara peribadi bukanlah peminat filem animasi, namun Bad Guys 2 membenam dampak tersendiri dalam sanubari kerana keberhasilan banyak perkara termasuk jalan cerita, kesinambungan atau nilai ‘cohesive’ daripada filem pertama hasil kebijaksanaan pengarah mengolah naratif.

BAD Guys 2 diolah dengan baik dan cukup rencah sekali gus menjadi karya animasi wajib tonton tahun ini.
Mr. Wolf dan rakan-rakan membuktikan walaupun berstatus ‘pencen’, itu tidak bermakna mereka terus lesap daripada terus memberi bakti kepada dunia atau masyarakat.
Juga antara mesej diselitkan dalam Bad Guys 2 adalah tidak kenal, maka tidak cinta. Dengan siapa kita menghabiskan masa bersama, itu tidak mustahil melahirkan idea yang mampu mengubah dunia.
Sama seperti apa yang ditonjolkan menerusi kebersamaan ‘Adam dan Hawa’ direfleksikan Bad Guys dan Bad Girls. Sama seperti kehidupan yang berpasangan-pasangan dan ada hitam serta putihnya tersendiri.
Keseluruhannya, Bad Guys 2 sebuah sekuel yang diterjemahkan penuh keadilan dan keberhasilan. Tahniah Dreamworks! – HIBGLAM