PEMPENGARUH Ameera Khan sanggup terbang ke Jakarta bagi memberi sokongan kepada teman lelakinya yang juga aktor Indonesia, Jefri Nichol dalam perlawanan tinju Superstars Knockout Vol. 3 yang berlangsung di Jakarta Convention Center, semalam.
Malah, Ameera atau nama lengkapnya Nur Ameera Abdul Halim Khan, 25, turut membawa rombongan keluarganya ke sana bagi untuk memberi semangat kepada Jefri yang bertarung dengan anak penyanyi Ahmad Dhani, iaitu El Rumi.
Antara ahli keluarganya yang hadir memberikan sokongan termasuklah ibu, Datin Noor Kartini, kakak iaitu Noor Nabila, bekas abang ipar, Sharnaaz Ahmad dan anak saudaranya, Jebat Jayden.
Bagaimanapun, Jefri, 26, terpaksa akur apabila tewas di tangan El Rumi secara knockout (KO) dalam masa hanya 38 saat pada pusingan pertama.
Difahamkan, kekalahan tersebut berpunca daripada kecederaan bahu yang dialami Jefri sekali gus memaksa pengadil untuk menghentikan pertarungan lebih awal bagi mengelakkan risiko kecederaan yang lebih serius.
Kemenangan tersebut sekali gus menjadikan El Rumi sebagai juara baharu Influencer Championship Boxing (ICB).
Sebelum perlawanan, adik kepada selebriti Neelofa itu sempat mendoakan yang terbaik buat Jefri selain mengharapkan meraih kemenangan.
“Semoga Allah memberikan sayang kemenangan yang besar, adil, terhormat, membawa ketenangan dan rasa syukur.
“Semoga kemenangan ini nanti menjadi bukti atas segala usaha, doa dan sabar. Semoga Allah lindungi sayang dalam setiap langkah,” katanya dalam hantaran InstaStory.
Sebelum ini, hubungan Ameera dan pelakon filem Ali Topan itu pernah terputus sekitar Oktober 2021 apabila mereka saling berhenti mengikuti akaun Instagram masing-masing.
Namun, pada penghujung Mac tahun lalu, pasangan itu kembali menjalin hubungan dan sejak itu dilihat semakin terbuka berkongsi detik-detik mesra bersama.
Meskipun berdepan komen sinis sesetengah pihak, Ameera tetap kelihatan tenang dan kini lebih aktif berkongsi kehidupannya bersama kekasih hati dalam media sosial. – HIBGLAM