Penerbit juga pengarah terkenal, Erma Fatima kesal dengan sikap segelintir netizen yang membuli individu lain dalam media sosial sehingga sanggup melondehkan aib orang lain sesuka hati.
Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad Ali, 57, berkata golongan yang suka membuli dan mengecam individu lain itu disifatkan sebagai tiada belas kasihan.
“Apa nak jadi dengan mereka yang suka maki hamun, fitnah dan bermaharajalela henyak orang dalam media sosial. Macam kalian hebat sangat.
“Ada yang sampai telanjangkan orang tanpa ada belas kasihan. Mana pergi ihsan kalian?
“Tak akan gelap sangat hati kalian sehingga hilang semua belas kasihan pada orang lain? Media sosial sudah seperti tempat kenduri kecam, fitnah dan ada pasukan bantai orang,” katanya dalam Instagram.
Bimbang dengan gejala buli siber, Erma turut menggesa pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengambil tindakan segera terhadap individu yang sepatutnya.
“Takkan MCMC nak tunggu ada laporan baru nak ambil tindakan?
“Atau ada yang mati kerana depresi dan penderaan mental baru nak selidik? Cuba jenguk-jenguk sikit yang sedang kenduri-kendara membuli orang itu.
“Dengar kata sudah ada akta baru, sebar-sebarkanlah supaya raja kecam ini tahu sikit undang-undang dan belajar kembalikan semula rasa ihsan itu,” luahnya.
Menurut Erma, teguran tersebut bukan untuk menyinggung mana-mana pihak sebaliknya sekadar peringatan agar gejala buli siber tidak mengundang perkara tidak sepatutnya.
“Jangan sampai berita penuh dengan kematian akibat buli siber yang melampau.
“Sesal kemudian tiada guna macam kes adik Zara Qairina, sekadar mengingatkan,” ujarnya.
Isu buli siber terutama dalam dunia hiburan bukan perkara asing. Terbaharu, pelakon Sophia Albarakbah mengundang perhatian ramai apabila tampil membuat laporan polis selepas mendakwa dirinya menjadi mangsa buli siber dan gangguan seksual sejak kebelakangan ini. – HIBGLAM