RAMAI penyanyi pelapis tumbuh bagai cendawan dalam seni industri muzik Nusantara, sama seperti penyanyi Fajar Noor yang mengecapi kemasyhuran selepas menyertai Indonesia Idol musim ke-13.
Meskipun pernah menyertai program nyanyian X Factor Indonesia musim keempat, kehadirannya lebih memukau perhatian ramai di Indonesian Idol.
Tidak dinafikan vokal lunak menjadi faktor utamanya berjaya meraih tempat kedua dalam pertandingan nyanyian realiti berkenaan.
Namun, selepas tamat program tersebut tersebar kisah kurang enak yang bertebaran dalam media sosial mengenai jejaka asal Medan, Indonesia itu.
Dia dihambat kontroversi menjalin cinta dengan Shabrina Leanor yang merupakan juara pertandingan terbabit dalam pada dikatakan mempunyai hubungan bersama pelakon Indonesia iaitu Amanda Lucson.
Meskipun ramai peminat Indonesia mula menunjukkan protes kerana kecewa dengan sikap Fajar, dia tetap positif selain terus fokus terhadap karier seninya.
Malah, Fajar juga sangat profesional apabila terbuka untuk bekerjasama dengan penyanyi wanita sekali gus enggan cepat melatah.
“Selepas ini tiada masalah sekiranya saya nak berkolaborasi dengan mana-mana artis wanita.
Dari awal di Idol (Indonesia Idol) pun, ‘ship’ (hubungan) saya sudah ada banyak. Jadi saya okey saja. Apa pun pendapat orang di dunia ini, tidak mengapa. Saya okey saja,” katanya kepada HibGlam.

FAJAR mengagumi bakat nyanyian Biduanita Negara, Siti Nurhaliza selain memasang impian untuk berduet dengan Ernie Zakri. – FIRDAUS JOHARI & INSTAGRAM FAJAR NOOR
Biarpun baru berusia 21 tahun, pemilik nama lengkap Fajar Nurdiansyah semakin matang melalui perjalanan karier dengan enggan menghiraukan spekulasi dicetuskan.
“Tidak mengapa. Mereka hanya nampak dari media sosial sahaja. Mereka bebas nak memberi pendapat sebab mereka pun manusia.
Tapi kami yang berada dalam hubungan lebih tahu dan itu adalah sesuatu yang peribadi. Kami tidak pernah mengaku. Jadi terpulanglah mereka mahu kata apa. Kami tetap jaga hubungan baik,” katanya lagi.
Siti, Ernie
Tolak tepi hal peribadi, Fajar sempat berkongsi keterujaan pertama kali menjejakkan kaki di Malaysia untuk mempromosikan dua buah singlenya berjudul Tahta Hatiku #Pendampingmu dan Menjaga Hati.
Saya selalu dengar lagu-lagu Datuk Seri Siti Nurhaliza sejak kecil.
“Jadi, ini memang pengalaman berharga buat saya dapat datang ke Malaysia,” tuturnya.
Pada masa sama, dia juga meluahkan keinginan untuk bekerjasama dengan penyanyi Malaysia iaitu Ernie Zakri selepas mendengarkan lagu Masing Masing.
Saya teringin sangat nak berduet dengan Ernie. Kami sempat berjumpa semasa Anugerah Melodi Terhangat baru-baru ini.
“Bagi saya dia salah seorang penyanyi wanita Malaysia yang menyanyi menggunakan jiwa.
“Saya rasa kalau digandingkan dengan saya memang sesuai sebab saya juga pencinta pop,” ujarnya.
Tulis lagu
Berkongsi lanjut, lelaki yang dikatakan memiliki suara mirip penyanyi Afgan itu tidak menafikan wujudnya persaingan sihat dalam industri, namun tidak jadikan alasan untuk bersinar.
“Persaingan tetap sihat antara pendatang industri lain.
Kita harus menjadi lebih ‘outstanding’ (menyerlah) berbanding orang lain.
“Perangnya adalah dari segi karya yang baik bukan sama ada kita diterima masyarakat Indonesia atau tidak,” ujarnya lagi.
Selain bakat nyanyian, anak tunggal itu juga bakal menghasilkan karya tulisan sendiri untuk kekal utuh sebagai penyanyi dalam industri hiburan.
“Buat masa ini, saya baru sahaja keluarkan single dan saya masih lagi artis baharu.
Tak mungkin akan keluarkan album dalam terdekat, kalau tak pun saya keluarkan single dahulu.
“Saya pula sekarang sedang berjinak-jinak untuk tulis lagi sendiri.
“Ada beberapa yang saya tulis memang berdasarkan pengalaman peribadi seperti fasa putus cinta, romantik dan era ‘butterfly’ (gembira),” tutupnya. – HIBGLAM