TIDAK menempa nama di Malaysia, sebaliknya bakat serta vokal yang dimiliki penyanyi, Lingling lebih menyerlah di Korea Selatan.
Disebabkan minat mendalam terhadap muzik K-pop, anak jati Klang, Selangor itu akhirnya mampu menembusi arena hiburan negara tersebut.
Kejayaan tersebut sekali gus menjadikan pemilik nama lengkap Wong Lingling sebagai penyanyi wanita pertama yang berjaya mencipta nama di sana.
Lebih istimewa, Lingling juga dipilih sebagai ketua kumpulan wanita, Kiiras yang baru sahaja debut pada Mei 2025.
“Sejak kecil, saya memang suka muzik K-pop. Jadi saya belajar sendiri tarian mereka dan ketika berumur 17 tahun, saya menyertai uji bakat global.
Saya berjaya melepasi peringkat itu. Jadi, begitulah permulaan perjalanan saya ke Korea. Prosesnya memang sukar kerana mereka sangat tegas dan artis pula berlatih sepanjang hari.
“Tapi saya hadapi semuanya dengan semangat kental selain enggan menyerah,” katanya.
Menurut penyanyi berusia 20 tahun itu, banyak perbezaan yang dilihat antara industri seni Korea Selatan dan Malaysia, bahkan dia juga mendedahkan realiti sebagai idola K-pop.
“Saya rasa situasinya berbeza, di Korea mereka lebih tegas terutamanya dalam hal adab dan etika.
Mereka juga sangat ‘ketat’ dari segi tarian dan nyanyian. Kalau nak debut, anda memang kena betul-betul hebat. Bukan sekadar cantik atau kacak saja.
“Anda kena berlatih bersungguh-sungguh. Semakin kuat anda berusaha, semakin banyak anda akan capai.
“Saya rasa anda memang perlu berlatih sepanjang hari dan ulang benda sama setiap hari. Jadi, perkara tersebut sangat membosankan atau buat anda cepat jemu,” katanya.

LINGLING yang merupakan anak kelahiran Klang kini mula membina nama di Korea Selatan.
– SYAKIR RADIN
Pada masa sama, Lingling mengakui menghadapi beberapa cabaran getir sejak tampil sebagai ketua kumpulan yang membariskan enam gadis itu.
“Bagi saya, dugaan paling besar adalah dari segi menjaga kesihatan mental sebab saya selalu rindukan keluarga di tanah air.
Saya juga pernah berhadapan masalah berkomunikasi tapi sekarang sudah fasih berbahasa Korea. Saya hanya belajar sebaik mula berlatih di bawah YG Entertainment.
“Semua syarikat pengurusan akan menghantar artis naungan mereka ke kelas bahasa Korea dan dari situ saya belajar,” ujarnya.
Bercerita lanjut, Lingling mengakui sering menghubungi keluarganya sepanjang berada di negara itu bagi mengurangkan tekanan.
“Sebenarnya masa saya belajar (di Korea) pun saya melalui masa yang sukar. Saya sangat rindu keluarga ketika itu.
Saya telefon ibu bapa saya setiap hari sambil menangis dan maklumkan mahu pulang.
“Masa itu memang susah sangat bagi saya terutama kena disiplin jaga diet dan juga sering buat latihan,” ujarnya.
Malah, dia juga pernah terfikir untuk menghentikan perjalanan merealisasikan cita-cita kerana terlalu rindukan keluarga.
“Kami kena berlatih sampai tengah malam dan ada banyak kelas semuanya berkaitan tarian selama tiga hingga lima jam.
Jadi, masa itu memang sangat mencabar bagi saya. Saya selalu telefon ibu bapa dan mereka akan nasihatkan saya untuk jangan mudah berputus asa.
“Tapi kadang-kadang saya memang rasa nak berhenti. Nasib baik saya cakap pada diri sendiri boleh lakukan dan teruskan kerjaya seni,” tutupnya.
Dalam perkembangan lain, kumpulan Kiiras berada di Malaysia pada minggu lalu bagi meraikan pelancaran koleksi terbaharu jenama Fila Love: All.
Koleksi eksklusif yang diinspirasikan daripada sukan tenis itu dihasilkan tiga bakat muda dari Asia Tenggara seperti MonKiddo (Malaysia), Bao Viet (Vietnam) dan Madeitwhendrunk (Thailand). – HIBGLAM