‘Memang tugas seorang suami, tak ada orang lain buat ke’

PELAKON Datuk Remy Ishak hairan apabila tindakannya membantu isteri menguruskan anak dan kerja-kerja rumah tular sehingga digelar ‘suami contoh’ sedangkan perbuatan sebegitu dianggap rutin biasa dalam kehidupan berumah tangga.

Remy atau nama sebenarnya, Mohammad Zalimei Ishak, 42, menyifatkan perkara tersebut adalah tanggungjawab yang sepatutnya dilakukan sebagai seorang suami.

“Sekarang ini suami memang tak buat begitu ke? Saya pun tertanya-tanya.

“Bagi saya, itu rutin. Memang tugas seorang suami. Tak ada orang lain buat ke sampai jadi viral?” katanya kepada HibGlam.

Tambah pelakon filem Pulang itu, perkara tersebut langsung tidak canggung baginya memandangkan dirinya dibesarkan dalam keluarga yang menitikberatkan sikap saling membantu.

“Adakah dunia dah berubah dan lelaki tak buat perkara itu? Saya tak pasti tetapi saya dibesarkan dengan cara macam ini.

“Ayah saya, keluarga dan kawan saya pun memang macam ini tapi mungkin di luar lingkungan saya, perkara ini tak diamalkan,” jelasnya.

Paling penting kata bapa satu anak itu, rakaman berkenaan hanya kebetulan dirakam dan bukan kandungan sengaja dicipta untuk media sosial.

Pun begitu, dari sudut positif, dia meluahkan rasa gembira andai perkara itu memberi inspirasi kepada pasangan lain.

“Saya tak buat semua itu untuk ‘content’. Itu memang rutin harian saya. Kalau cuti, saya akan tolong apa yang perlu.

“Sebagai selebriti, kita ada tanggungjawab sebarkan aura positif. Kalau orang tengok dengan cara betul, itu beri manfaat.

“Tapi kalau orang fikir saya buat semata-mata nak viral, itu bukan saya. Siapa yang ikut media sosial saya tahu, saya memang tak buat benda begitu,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) itu diumumkan sebagai duta terbaharu syarikat automotif, GAC Malaysia bersama pelakon dan penyampai radio Jack Lim.

Terdahulu, Remy dilambung pujian netizen selepas mengakui selesa membantu isteri menguruskan anak tunggal mereka andai tidak terikat dengan komitmen kerja.

Untuk rekod, Remy mendirikan rumah tangga dengan Ezza pada 21 Ogos 2021 dan dikurniakan Alam Tuah yang kini berusia dua tahun. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok