Setahun tidak sebumbung, Acha Septriasa kini janda

PERKAHWINAN pelakon Indonesia, Acha Septriasa dengan jurutera teknologi maklumat, Vicky Kharisma berakhir apabila pasangan itu disahkan bercerai pada 19 Mei lalu.

Difahamkan, pemilik nama sebenar Jelita Septriasa, 35, itu menfailkan perceraian di Mahkamah Agama Jakarta Pusat pada Disember 2024 selepas setahun tidak sebumbung.

Keputusan tersebut dijatuhkan mahkamah selepas Vicky tidak menghadiri perbicaraan meski sudah dipanggil secara rasmi.

Berdasarkan pada salinan keputusan yang tertera dalam Direktori Putusan Mahkamah Agung Republik Indonesia, majlis hakim meluluskan permohonan Acha secara verstek (tanpa kehadiran pihak suami).

Dalam keputusan sama, majlis Hakim turut memutuskan Vicky menjatuhkan talak terhadap wanita terbabit.

“Menjatuhkan talak satu ba’in shughra Tergugat (Vicky Kharisma Muriza H.Afrizal Muis) terhadap Penggugat (Jelita Septriasa IR Sagitta Ahimsha),” tulis keputusan itu.

Daripada dokumen sama, hubungan Acha dan Vicky mula retak sejak Oktober 2021 sehingga mengakibatkan pertengkaran dan perselisihan berpanjangan.

Bahkan dalam setiap pertelagahan lelaki terbabit didakwa kerap menjatuhkan talak yang sudah dilafazkan sebanyak lima kali.

Acha sah bergelar isteri Vicky Kharisma pada 1 Disember 2016 dan dikurniakan seorang puteri, Bridgia Kalina Kharisma yang kini berusia tujuh tahun.

Terdahulu, mereka berkenalan ketika sama-sama menyambung pengajian di sebuah universiti di Malaysia sebelum berjauhan seketika selepas lelaki terbabit bekerja di Sydney, Australia.

Begitupun, Acha turut mengikut suaminya tinggal di negara tersebut sebaik sahaja bergelar isteri. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok