PELAKON Mierul Aiman menolak dakwaan filem dan drama tempatan menjadi punca peningkatan kes buli dalam kalangan pelajar sekolah.
Sebaliknya, Mierul atau nama lengkapnya Muhammad Amirul Aiman Norazman, 27, yang pernah membintangi filem Kahar: Kapla High Council itu menegaskan karya seni seperti filem dan drama hanyalah cerminan realiti kehidupan masyarakat.
“Saya membesar dengan filem, drama dan muzik. Saya percaya terjadinya sebuah filem rempit kerana datangnya daripada budaya masyarakat itu sendiri.
Bukan kerana filem rempit itu ditayangkan barulah berlaku isu rempit. Saya rasa semua naskhah yang disiarkan adalah jalan cerita yang dikarang semula daripada kehidupan sebenar.
“Bagi saya filem atau drama adalah ‘tempat’ untuk membuatkan penonton berfikir tentang sesebuah isu itu,” katanya kepada HibGlam.
Malah, juara Hero Remaja 2021 itu menganggap naskhah yang mengangkat isu buli sepatutnya dilihat sebagai satu bentuk peringatan atau iktibar kepada masyarakat agar tidak mengulangi kesilapan sama.
“Saya percaya masyarakat perlu melihat naskhah filem atau drama itu sebagai satu sumber rujukan untuk menentukan mana yang baik atau buruk.
Kita sendiri sudah dididik ibu bapa dan di sekolah untuk mengenal perkara baik dan buruk.
“Sesebuah filem atau drama itu hanya satu pameran untuk menceritakan pengalaman orang lain,” ujarnya pada sidang media drama Viu, Seadanya Kita di sini, semalam.
Dalam perkembangan lain, Mierul memegang watak utama dalam drama Seadanya Kita, bergandingan dengan pelakon Emma Maembong sebagai heroin.
Drama romantik terbitan Global Station itu akan ditayangkan secara eksklusif bermula 7 Ogos menerusi Viu dengan episod baharu setiap Khamis dan Jumaat. – HIBGLAM