‘DJ Kidd sudah jumpa anak-anak, berkenalan dulu’

SEMAKIN terbuka mengenai hubungan peribadi, pelakon Emma Maembong mengakui sudah membawa teman lelakinya DJ Kidd berjumpa dengan ahli keluarga terdekat dan anak-anaknya.

Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail, 33, berkata, pertemuan tersebut berlaku secara kebetulan.

Setakat ini kebanyakan pertemuan antara dia dan anak-anak, ayah serta adik-beradik saya berlaku secara tak sengaja.

“Kalau kata merancang untuk jumpakan dia dengan seluruh ahli keluarga saya, setakat ini memang tak ada lagi ke arah itu,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui pada majlis sidang media drama Seadanya Kita untuk platform VIU, di sini semalam.

Bagaimanapun, pelakon drama Seribu Tahun itu enggan terburu-buru bercakap soal perkahwinan, setakat ini juga belum ada perancangan untuk membawa hubungan ke fasa seterusnya.

“Kita berkenalan dulu, tak perlu terburu-buru. Saya pun dah pernah berkahwin sebelum ini, jadi kita kenal-kenal dulu.

Setakat in belum terfikir lagi sampai ke fasa-fasa seterusnya. Lagipun saya ada anak-anak dan keluarga.

“Saya juga takkan uar-uarkan mahupun menidakkan hubungan kami. Sebaliknya biarlah Allah tentukan arah jodoh kami,” katanya lagi.

Pada masa sama, Emma juga enggan berkongsi secara terbuka mengenai kisah peribadi sebaliknya mahu fokus dalam bidang kerjaya.

Kenapa saya tak muat naik kehidupan peribadi dalam laman sosial kerana bagi saya kisah hidup saya tak penting dan tak mendatangkan apa-apa faedah untuk orang tahu.

“Tapi kalau ada orang yang nak muat naik, saya tak boleh nak halang dan saya tak marah. Mungkin hidup saya dikelilingi orang yang suka berkongsi aktiviti di laman sosial.

“Saya seorang yang sangat privasi, kalau benda boleh saya sorok kenapa tidak? Lagipun ini bukanlah satu benda untuk dibanggakan,” jelasnya.

Ahad lalu, hubungan Emma dan DJ Kidd menjadi perhatian selepas lelaki itu berkongsi beberapa foto mereka menghadiri acara Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2025 bersama.

Sebelum ini, timbul gosip mengatakan Emma sudah berkahwin dengan DJ Kidd apabila didakwa bercuti bersama di luar negara.

Namun, Emma menafikan dakwaan sudah berkahwin dan menegaskan tiada hubungan istimewa antara mereka.

Pada Oktober tahun lalu, Emma mendedahkan sudah bercerai dengan Muhammad Shazli Azhar selepas lima tahun mendirikan rumah tangga.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Shariq Gabriel, 5 dan Shakil Aryan Shah yang kini berusia dua tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok