Bengang dituduh perasan, Harissa Adlynn buru pemfitnah

PELAKON Harissa Adlynn menafikan dakwaan kononnya mudah ‘perasan’ apabila menerima layanan mesra daripada pelakon lelaki sewaktu bekerja di set penggambaran.

Pemilik nama penuh Harissa Adlynn Abdul Halim, 22, itu menyifatkan tuduhan tersebut sangat berat dan berpotensi mencalarkan imejnya dalam industri.

Jujurnya, saya sangat terkejut bila dengar tuduhan tidak berasas seperti itu. Sumpah cerita itu tak pernah berlaku dan sememangnya fitnah.

“Hubungan saya dengan mana-mana rakan gandingan sentiasa profesional sepanjang berada di lokasi,” katanya kepada HibGlam.

Pelakon The Lord Musang King itu turut menafikan pernah mengarahkan pihak produksi supaya menegur atau menjauhkan pelakon lelaki tertentu yang cuba mendekatinya.

“Itu semua rekaan. Saya tak pernah minta sesiapa halang atau tegur pelakon lain semata-mata sebab saya rasa tak selesa.

Kalau ada perkara mengganggu, saya akan bincang dulu dengan pengurus dan ibu saya. Bukan terus minta tindakan diambil,” ujarnya pada sidang media Kerana Seorang Lelaki, semalam.

Paling penting kata Harissa, dia enggan fitnah seumpama itu mengganggu rezeki atau membuatkan penerbit dan produksi takut  menawarkan watak kepadanya.

Malah, dia juga berharap penyebar cerita palsu tersebut mempunyai keberanian untuk tampil secara bersemuka dan menyatakan rasa tidak puas hati secara terbuka.

Saya harap individu yang sebarkan cerita ini ada keberanian jumpa saya dan minta maaf.

“Kalau betul ada yang tak puas hati, jangan sembunyi belakang nama portal atau media sosial,” tegasnya.

Mencari siapa pelaku, Harissa mengakui turut mendedahkan bahawa dia sempat menghubungi pelakon Daniel Fong untuk mendapatkan penjelasan memandangkan mereka sedang bekerja bersama ketika cerita itu tular.

Saya terus tanya Daniel sebab masa tu kami sedang berlakon sama. Saja mahu dapatkan penjelasan tapi saya tahu bukan dia penyebarnya.

“Malah, saya terharu bila dia sendiri tampil dan bantu pertahankan saya. Kami dah beberapa kali bekerjasama, jadi dia tahu perangai saya macam mana,” luahnya.

Terdahulu, sebuah portal hiburan mendakwa pelakon itu mudah salah faham seperti ada yang cuba mengurat dirinya apabila menerima layanan baik daripada aktor lelaki sehingga menyebabkan kekecohan di set penggambaran. – HIBGLAM IQBAL ROSLI

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok