AMT2025 iktiraf selebriti berimpak tulen

DI sebalik kecaman bertubi-tubi berhubung imej didakwa seksi, hakikatnya pelakon juga penyanyi, Daiyan Trisha tetap disayangi ramai. Semua itu terbukti menerusi kemenangan berganda pada malam kemuncak Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT2025), Ahad lalu.

Bukan hanya membawa pulang trofi Selebriti Stailo Terhangat, wanita berusia 31 tahun itu turut diumumkan sebagai pemenang kategori utama iaitu Ultimate Award pada malam kemuncak yang disiarkan secara langsung menerusi TV3.
Daiyan mengungguli dua trofi daripada 12 kategori yang semuanya ditentukan menerusi undian sepenuhnya daripada peminat.

“Saya terharu sebab peminat faham personaliti saya. Walaupun ada kontroversi, mereka tetap beri sokongan. Mereka tahu siapa saya,” katanya ketika ditemui di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Trofi Ultimate Award AMT 2025 adalah penghargaan tertinggi kepada figura paling berpengaruh berdasarkan impak positif, momen tular dan sokongan serta interaksi awam sepanjang tahun ini.

SEIRING imej, Sophia Albarakbah pulang bergaya dengan trofi Selebriti Feminin Terhangat.

Bagi Anugerah Pilihan Proton X50 Superstar pula diraih penyampai radio Hot FM, Keymi sekali gus melayakkannya membawa pulang sebuah Proton X50.

Anugerah tersebut diberikan kepada selebriti, KOL (pemimpin pendapat utama) dan pencipta kandungan yang diberi cabaran menghasilkan video paling kreatif bersama model kenderaan serba baharu itu.

X50 rezeki anak

Menurut Keymi atau Nurul Kamilia Afiqah Mohd. Kamaruzaman, 27, pemilihan dalam kategori berkenaan sebagai rezeki untuk bayinya yang bakal lahir beberapa minggu lagi.

“Alhamdulillah, ini merupakan hadiah yang sangat istimewa terutama untuk keselesaan permata hati kami. Terima kasih atas rezeki ini,” katanya yang menitiskan air mata terharu.

Pasangan sensasi, Bella Astillah dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq pula menepati ramalan ramai apabila memenangi gelaran Selebriti Couple Goals Terhangat.

PASANGAN paling sensasi, Bella dan Syed Saddiq buat pertama kali tercalon berdua dan berjaya meraih gelaran Selebriti Couple Goals Terhangat.

Begitupun, mereka terus bergegas pulang sebaik sahaja majlis penganugerahan anjuran TV3 tersebut berakhir.

Kategori lain yang turut dinantikan ramai termasuklah, Selebriti Maskulin Terhangat serta Selebriti Feminin Terhangat, masing-masing diraih Fattah Amin serta Sophia Albarakbah.

“Terima kasih kepada mereka yang mengundi saya. Dalam industri ini kita umpama peniaga dan peminat adalah pembeli, jadi kita kena pastikan jual produk yang bagus,” ujar Fattah.

Sophia pula mengakui terkejut dengan kemenangannya, namun bersyukur terus disayangi pemerhati industri hiburan dengan mengundinya dalam AMT 2025.

Kategori-kategori lain pula, Selebriti Drama Sangat diungguli Che Puan Sarimah Ibrahim, manakala gelaran Selebriti Ikon Terhangat diraih Siti Saleha dan Selebriti Muzik Paling Onz & Terhangat menjadi milik Khai Bahar.

Tidak dilupakan adalah Selebriti Newcomer Terhangat, Zarif Ghazzi serta Selebriti Trending Terhangat diraih pempengaruh, Cik Epal, selain Tonton Original Terhangat iaitu drama BRU.

Bagi pengiktirafan yang tidak dipertandingkan, trofi Anugerah Khas: Selebriti Viral Terhangat diserahkan kepada aktor prolifik, Datuk Rosyam Nor.

TERUS relevan, Anuar Zain turut menjadi penyeri AMT2025.

Impak tulen

Pengurus Besar Kandungan Program TV3, Marlia Zul Amran menyifatkan, AMT2025 bukan sekadar pesta glamor atau selebriti sensasi, sebaliknya malam mengiktiraf individu yang mencipta impak tulen atas prestasi, dedikasi dan bakat konsisten.

“Sejajar dengan tagline Melodi, ‘Tingkatkan Prestasi, Kurangkan Kontroversi, Berdiri di Atas Bakat Sendiri’, AMT2025 tampil sebagai simbol penghormatan kepada figura industri yang berjaya membina kredibiliti melalui kerja keras dan keaslian.

“Sensasi mungkin menjadi pencetus perhatian, namun hanya prestasi dan karakter sebenar mampu bertahan dalam dunia hiburan yang mencabar.

“Ini bukan tentang siapa paling tular minggu ini, tapi ini mengenai mereka yang benar-benar memberi nilai kerana AMT2025 diraikan untuk menghormati mereka yang menjadikan seni sebagai landasan,” ujarnya.

Memeriahkan lagi majlis tersebut adalah persembahan daripada penyanyi terkemuka tanah air termasuk Anuar Zain, Ella, Marsha Milan, Hael Husaini dan DeFam.

Lebih istimewa, penyanyi Indonesia, Fajar Noor diterbangkan khas bagi menghiburkan peminat.

Berlangsung selama dua jam, AMT2025 dihoskan dua pengacara berpengalaman iaitu Fikry Ibrahim dan Ain Edruce. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok