XPDC Metalkestra apresiasi kesetiaan peminat

TAHUN 2025 bukan sahaja menyaksikan kelahiran semula seni legenda, tetapi juga kebangkitan sebuah kuasa rock kapak sejati.

Kumpulan heavy metal tersohor, XPDC, bakal kembali menghangatkan medan dengan konsert berskala besar, XPDC Metalkestra, yang dijadualkan menggegarkan Zepp Kuala Lumpur pada 8 November ini.

Lebih daripada sekadar konsert, XPDC Metalkestra hadir sebagai simbol penghormatan terhadap kesetiaan peminat yang tidak pernah berpaling selama lebih empat dekad.

Di pentas nanti, akan muncul barisan samurai sejati XPDC dibarisi Izo, Eddie, Arif, Lola dan Mamu yang bersedia memanaskan gelanggang dengan karisma serta tenaga padu seperti ledakan Konsert Raksasa XPDC Brutal di Stadium Negara dan Shah Alam pada 1998.

Menurut wakil penganjur utama, Republic Mokhmah Records, Musa berkata, mereka cukup berbesar hati menggalas tanggungjawab merealisasikan impian peminat untuk menyaksikan XPDC kembali menjulang taji.

Katanya, penganjuran konsert kali ini bukan sahaja sarat semangat, malah penuh simbolik kepada legasi XPDC yang tidak pernah pudar.

“Sama seperti peminat, penganjur mempunyai keghairahan sama untuk melihat XPDC beraksi dengan karya-karya hebat sejak album pertama sehingga kini.

“Apa yang lebih mengujakan, apabila kami dan XPDC mencapai kata sepakat untuk mengangkat tema Metalkestra dalam penganjuran julung kali ini.

Ini bukan sekadar konsert, tetapi bukti muzik rock tidak pernah mati, malah terus hidup di jiwa peminat baharu dan lama,” katanya kepada HibGlam.

Berganti tahun dan konflik penggunaan kumpulan, XPDC ‘versi’ Izo tetap bertahan dan bangkit untuk meraikan kegemilangan kumpulan metal rock itu dengan sebuah konsert mega.

Berganti tahun dan konflik penggunaan kumpulan, XPDC ‘versi’ Izo tetap bertahan dan bangkit untuk meraikan kegemilangan kumpulan metal rock itu dengan sebuah konsert mega.Tambahnya lagi, XPDC Metalkestra dijangka menarik pelbagai lapisan peminat sama ada samurai senior yang membesar dengan lagu XPDC, hingga ke generasi muda yang mengenali kumpulan legenda ini menerusi platform digital.

“Dengan lambakan kugiran rock di pasaran, XPDC tetap utuh dan bernafas.

Kami mahu bukan hanya samurai lama yang hadir, sebaliknya golongan muda yang mengenali XPDC melalui TikTok dan Spotify turut sama menyertai gelombang ini. Muzik XPDC tak pernah mati,” jelasnya.

Sementara itu, gitaris XPDC, Izo, menyifatkan gabungan heavy metal dan orkestra dalam konsert ini sebagai satu kejutan segar buat semua.

Paling penting katanya, XPDC bukan sekadar tampil bertenaga, tetapi mahu memberikan pengalaman muzikal yang lebih mewah dan bermakna.

“Peminat bukan hanya akan menikmati heavy metal yang cukup sinonim dengan XPDC, tetapi gabungan orkestra menambah kemewahan kepada persembahan secara keseluruhan.

XPDC Metalkestra juga merupakan apresiasi kami kepada semangat peminat yang tidak pernah padam, walau pelbagai fasa telah kami lalui sepanjang empat dekad

“Konsert ini adalah tanda aras bahawa XPDC tidak akan berhenti di sini,” ujarnya.

Lebih mengujakan, lagu-lagu malar segar nukilan Allahyarham J.S. Kevin seperti Apa Nak Di Kata, Nafisa, Kita Peng Yu, Hidup Bersama, Hijau Bumi Tuhan dan CT Cinta Kenangan Silam akan dipersembahkan secara langsung

Pemain dram XPDC, Lola pula mendedahkan bahawa konsep ‘Metalkestra’ dibangunkan berdasarkan album Samurai dan disebabkan itu tema samurai dipilih sebagai nadi keseluruhan persembahan.

Kongsinya, aura samurai bukan sahaja menyalurkan kekuatan seni XPDC, malah akan diterjemah secara visual dan interaktif sepanjang konsert berlangsung.

“Untuk konsep Metalkestra ni, memang kita fokus kepada tema samurai, kena dengan album Samurai itu.

Peminat yang hadir juga berpeluang menyertai cabutan bertuah, manakala yang berpakaian paling ‘samurai’ akan menerima hadiah gitar.

“Bukan satu, bukan dua, tapi tiga gitar Jackson Izo Signature bakal dibawa pulang,” tutupnya.

Tiket konsert telah mula dijual sejak 30 Julai lalu menerusi platform iLasso Tickets dengan harga bermula RM138 sehingga RM5,008 bagi pakej eksklusif Royal Box termasuk sesi meet & greet serta goodie bag.

Dua peminat bertuah yang tampil dengan kostum samurai terbaik akan membawa pulang hadiah eksklusif, selain cabutan bertuah yang menjanjikan tiga unit gitar Jackson Izo Signature

Dalam tempoh banyak kumpulan baharu lahir dan mati silih berganti, XPDC tampil sebagai bukti bahawa akar sebenar muzik rock kapak tidak pernah reput dimamah zaman. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok