KAKAK sulung Allahyarham Achik Spin, Nurul Azua Md. Shari yang menjadi peserta Kilauan Emas kelapan (KE8) mengakui masih menangis apabila mendengar lagu nyanyian arwah biarpun selepas 15 tahun pemergian adiknya itu.
Guru sambilan berusia 46 tahun itu berkata, hubungannya dengan adik-beradik sangat rapat termasuk arwah yang juga anak kelima daripada sembilan bersaudara membuatkannya terasa kehilangan sampai ke hari ini.
“Saya reda tetapi setiap kali dengar nyanyian Achik terus timbul rasa hiba, malah kalau lagunya dimainkan di radio terus saya tutup. Pernah di sebuah pasaraya lagunya diperdengarkan, saya terus meraung.
Sampai sekarang pun saya elakkan (dengar) hingga ada yang bertanyakan perkara ini. Bukan tak nak dengar, cuma saya memang sedih. Tak boleh langsung.
“Ini kerana kami sembilan beradik sangat akrab. Dulu emak kerja ikut shift, jadi saya jaga adik-adik di rumah. Masa umur enam tahun saya dah pandai masak. Kiranya sayalah kakak, sayalah ibu,” katanya ketika ditemui pada sidang media KE8 di Hotel Summit USJ, semalam.
Musim kali ini menyaksikan 11 lagi peserta solo berumur antara 43 hingga 65 tahun termasuk Zanie, Shah, Nurul,
Kinar, Mazleen, Majid, Leeza, Ben, Ezan, Zekrai, Nawary dan Vijay.
Menyentuh mengenai penyertaan dalam program berkenaan, wanita asal Nilai, Negeri Sembilan itu sudah sedia berdepan cabaran membawakan lagu pelbagai genre.
Begitupun, ditanya sama ada mampu membawakan seleksi dendangan arwah Achik, Nurul Azua mengakui menerima setiap tugasan dengan berlapang dada.
“Apabila memasuki pertandingan sebegini, kita tak dapat jangka apa-apa tapi apa pun saya akan cuba melakukan yang terbaik.
Sebenarnya kalau bawa lagu rancak tak terasa sangat, ada lah juga saya nyanyi berduet dengan anak tapi dendangan sedih macam Tragedi Cinta, Benang Emas memang saya tak nyanyikan lagi.
“Sebab dua lagu itu adalah kisah dia. Jadi perasaan kita pun terusik sama,” ujarnya ibu wanita yang pernah terkena serangan jantung ketika melahirkan anak kelima.
Achik atau nama sebenarnya Abdillah Murad Md. Shari menghembuskan nafas terakhir pada 17 April 2010 selepas terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Kajang Seremban Sdn Bhd (LEKAS).
Allahyarham dilaporkan mengalami kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian anggota badan akibat kemalangan tersebut
Ketika itu kumpulan Spin yang mencetuskan fenomena sejak ditubuhkan sekitar 1990-an meledak dengan lagu seperti Janji Kita, Kasih Ibu, Malam Semakin Dingin dan Mengusung Rindu.
Sementara itu, mengenai KE8, program itu akan dikendalikan personaliti popular Elly Mazlein selaku hos utama bersama Joey Daud selaku pengacara belakang tabir.
Barisan juri pula mengekalkan primadona Filem Melayu Alaf Baru, Erra Fazira sebagai juri tetap, digandingkan bersama pelawak Roy Azman dan juri terbaharu, Ning Baizura.
Bersiaran setiap Sabtu di Astro Prima (Saluran 105), musim kali ini turut memperkenalkan penyanyi, Zarul Husin sebagai hos segmen Spotlight. – HIBGLAM