‘Selepas cakap bodoh, dia puji lakonan saya makin bagus’

SAYA pernah dimarahi, dipanggil bodoh dan diselar tidak pandai berlakon.”

Demikian perkongsian pelakon Azira Shafinaz mengenai pengalaman buruk ditegur aktres senior di set penggambaran ketika mula menceburi dunia lakonan beberapa tahun lalu.

Azira atau nama lengkapnya Azira Shafinaz Ramlan, 34, berkata, kejadian berkenaan melukakan hatinya sehingga menangis di lokasi namun tidak sekali pun menyimpan dendam terhadap individu itu.

Tipulah kalau tak terasa malah saya  menangis, namun saya ambil teguran dia tentang cara lakonan saya secara positif dan tidak simpan dendam pun.

“Saya jadikan teguran itu sebagai motivasi untuk memperbaiki mutu lakonan dan cabar diri demi menjadi lebih baik,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui pada malam gala filem Indera yang berlangsung, semalam.

Meski perit untuk ditelan, Azira bagaimanapun mengakui teguran tersebut memberi impak positif terhadap kualiti lakonannya yang disifatkan semakin baik dari hari ke hari.

“Mungkin bagus juga dia menegur dengan cara sedemikian kerana saya pun masih baharu lagi dalam industri lakonan.

Banyak yang perlu saya belajar lagi. Tak perlu buktikan apa-apa padanya tetapi insiden itu membantu membentuk siapa saya pada hari ini,” jelasnya.

Enggan mendedahkan identiti, anggota kumpulan DeFam itu turut berkata, dia tidak pernah bermusuh dengan indivitu terbabit bahkan kembali bekerjasama dan menerima pujian atas perubahan kualiti lakonannya.

“Beberapa tahun selepas kejadian itu berlaku, saya pernah digandingkan lagi dengan pelakon sama.

Dia sendiri memuji kualiti lakonan saya yang dikatakan semakin bagus.

“Saya berpegang bahawa setiap yang berlaku pasti ada hikmah ditambah pula saya jenis cepat bangkit dan tidak terlalu melayan emosi negatif,” katanya lagi.

Menerusi filem Indera arahan Woo Ming Jing tersebut, Azira turut digandingkan dengan Saheizy Sam dan Ruminah Sidek.

Filem yang bakal menemui penonton di seluruh pawagam Malaysia bermula 7 Ogos dan merupakan genre psiko seram berjaya menjulang Azira sebagai Pelakon Pembantu Terbaik Asia di Filem Asia Pasifik Kuala Lumpur ke-61 (APFF61) pada Disember tahun lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok