‘Membesar sebelah kubur, susah nak rasa takut’

DIDAKWA buat kerja gila, pelakon, Farid Kamil menganggap keputusan menginap selama 25 hari di banglo kosong yang menjadi latar lokasi filem Munajjim: Sekutu Iblis sebagai berbaloi.

Pemilik nama lengkap Farid Kamil Zahari, 44, yang menggalas watak Ayden mengakui perkara seumpama itu sebagai proses biasa mendalami karakter seperti dilakukan ketika menjayakan watak lain sebelum ini.

Baginya, bukan sesuatu yang aneh andai seseorang pelakon mendasari sesuatu peranan dengan menggunakan kaedah mengikut pilihan sendiri.

“Filem ini diinspirasikan daripada kisah benar tetapi selepas membaca skrip saya masih tak dapat wujudkan rasa takut, mungkin kerana ketika membesar di Kedah, saya tinggal di rumah nenek bersebelahan kubur. Jadi, perasaan takut itu kurang.

Antara cara adalah dengan tinggal di banglo yang sudah lebih 10 tahun tidak berpenghuni itu. Mungkin ada yang tertanya-tanya, tetapi saya mahu rasa ketakutan sebenar ketika berada di set itu.

“Dalam beberapa filem lain pun saya cuba gunakan pendekatan sama iaitu rasai pengalaman sebenar, tambahan pula dalam genre seram seperti Munajjim: Sekutu Iblis,” katanya ketika tayangan filem arahan Faizul A. Rashid, baru-baru ini.

DALAM filem baharunya, Farid membawakan watak Ayden yang terjejas emosi akibat ilmu hitam.

Begitu pun, sepanjang hampir sebulan tinggal di banglo lama di Kuang, Selangor tersebut, tiada sebarang gangguan atau kejadian mistik berlaku.

“Awalnya, saya susah lelapkan mata. Bilik yang saya gunakan pula berada di tingkat tiga selain mempunyai lima katil. Jadi saya cuba tidur di setiap katil sehingga katil kelima, baru saya dapat lelap.

Tiada gangguan pun, cuma saya rasa badan saya macam ditolak setiap kali nak terlelap. Itu membuatkan saya bertukar-tukar katil. Kalau ada bunyi pelik pun, rupa-rupanya daripada tupai.

“Sebenarnya punca utama saya tak dapat tidur adalah disebabkan terlampau banyak nyamuk. Lepas pasang ubat nyamuk, baru boleh lena,” ujarnya.

Turun padang

Pada masa sama, Farid mendedahkan pernah cuba mendalami watak bagi filem Anwar: The Untold Story menggunakan kaedah unik iaitu ‘turun padang’.

“Banyak sebenarnya kaedah saya buat untuk menjiwai sesuatu karakter Contohnya untuk filem Anwar: The Untold Story, saya pergi ke ceramah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Cuma bezanya saya mengenakan purdah, nampak bahagian mata supaya tiada siapa perasan saya berada di situ.

“Waktu itu, yang tahu saya datang dengar ceramah ialah Mat Sabu (Datuk Seri Mohamad Sabu),” katanya.

FILEM Munajjim: Sekutu Iblis mula ditayangkan sejak 31 Julai lalu.

Kembali fokus tentang naskhah seram yang mula ditayangkan sejak 31 Julai lalu, katanya Munajjim berkisar sebuah keluarga yang taksub terhadap bomoh serta amalan khurafat.

Emosi Ayden terganggu apabila isterinya dihubungi semula kekasih lama, lebih teruk lelaki itu juga menggunakan ilmu hitam.

“Di situ tercetusnya pertentangan. Garapannya menarik, saya teruja dapat merealisasikan kisah ini dengan ramai pelakon lain.

Plot serta penceritaan juga tidak macam filem seram lain yang streotaip dengan babak memaparkan kemunculan pontianak atau pocong, sebaliknya jelmaan iblis,” katanya.

Selain Farid, filem berkenaan turut membariskan bintang popular lain seperti Uqasha Senrose, Che Puan Juliana Evans, Mustaqim Bahadon, Sherrie Merlis dan Daniel Aqil.

Munajjim: Sekutu Iblis diterbitkan Yusrych Global Sdn. Bhd. dengan kerjasama TGV, manakala edaran antarabangsa pula diuruskan D’ Ayu Pictures dengan sokongan promosi Empire Solutions. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok