‘Buat perjanjian dengan anak, kalau langgar tarik balik telefon’

BERWASPADA dengan penggunaan gajet, penyanyi dan penyanyi Erra Fazira hanya memberikan akses penuh telefon bimbit kepada anaknya, Engku Aleesya selepas berusia 16 tahun dengan syarat tertentu.

Erra atau nama lengkapnya Fazira Wan Chek, 51, berkata, sebelum ini puteri tunggalnya itu tidak dibenarkan memiliki alat komunikasi tersebut berikutan beberapa faktor.

“Memang Aleesya tidak ada telefon sebelum ini tetapi dia baru sahaja dapat pelepasan kerana sudah selesai peperiksaan.

Kami dama-sama buat perjanjian bahawa dia boleh dapat gunakan telefon cuma dalam waktu tertentu sahaja.

“Kata laluan pula kena kongsikan dengan saya serta bapanya dengan syarat boleh kami akses pada bila-bila masa. Kalau buat salah atau langgar perjanjian, kami tarik balik telefon,” katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan peserta Kilauan Emas musim lapan (KE8), semalam.

Kata Primadona Filem Melayu Alaf Baru itu, pendekatan itu dipraktikkan bagi membolehkan dia dan bekas suaminya, Engku Emran memantau aktiviti anak mereka.

“Itu cara kami memantau anak. Kami buat sebaik mungkin kerana sebagai ibu bapa tentu tidak mahu mereka lakukan perkara buruk.

Era tanpa sempadan ini membolehkan ini kita terdedah kepada bermacam-macam maklumat. Sudah tentu cara tapis adalah menerusi pemantauan.

‘Tetapi kadang-kadang, sebijak-bijak kita, bijak lagi anak. Jadi, kita buat sahaja mana yang terdaya dan selebihnya berdoa kepada Allah,”

Pada masa sama, pelakon filem Soalnya Hati itu menyifatkan Aleesya sebagai individu introvert berikutan jarang berkongsi tentang perihal peribadi.

Enggan menggunakan pendekatan terlampau tegas, Erra lebih percaya kepada komunikasi dua hala dengan bersikap terbuka.

“Aleesya sejenis Remaja yang pendiam hingga sampai satu tahap saya minta dia kongsikan sahaja perasaan dirasai kepada saya.

Saya pula dibesarkan dengan ibu bapa yang tegas tetapi saya tak ikut cara sama dengan anak sebab bapanya. Jadi, saya perlu bersikap lebih terbuka, bertoleransi dan ‘sporting’.

“Saya ada katakan kepada bapa Aleesya. Cara didikan tidak boleh seperti masa dahulu, takut anak hanya mencari kawan untuk meluahkan masalah,” ujarnya.

Katanya lagi, dia perlu mendekati Aleesya selain memahami perasaan permata hati yang sudah menginjak fasa remaja itu mudah berkongsi cerita.

“Bagi saya kita kena pandai bermain dengan psikologi anak dan Alhamdulillah sekarang Aleesya banyak juga bercerita pelbagai perkara dengan saya.

Dia seperti remaja lain dan ada juga dia berkongsi tentang ‘crush’, sejujurnya di belakang dia saya takut tetapi di hadapannya saya perlu bertenang.

‘Saya tak mahu dia lari ke tempat lain untuk cari tempat mengadu. Memang betul, bukan senang nak jaga anak remaja terutama dari segi emosinya,” katanya.

Aleesya merupakan satu-satunya permata hati dengan Engku Emran namun mereka bercerai selepas tujuh tahun melayari perkahwinan.

Sebelum itu Erra pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi dan pengarah, Datuk Yusry Abd. Halim pada 2003 yang hanya bertahan tiga tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok