PENGACARA Sherry Alhadad masih kekal dengan pendirian untuk tidak melakukan pembedahan bariatrik bagi memiliki bentuk dan berat badan yang lebih ideal.
Menurut Sherry, prinsip itu pernah tidak tergugat meskipun masih wujud segelintir pihak mentertawakan fizikalnya.
Memang ada yang tawarkan buat pembedahan bariatrik tetapi saya tolak dengan cara baik kerana kerana belum tiba masa untuk melakukannya.
“Mungkin belum terbuka hati lagi. Ada juga beberapa doktor yang tawarkan tetapi saya tetap tolak dengan baik.
“Rasanya tak ada keperluan nak buat pembedahan untuk kurus buat masa sekarang,” katanya ketika ditemui pada pengumuman Anugerah MeleTOP Era 2025 (AME2025), baru-baru ini.
Dalam masa sama Sherry mengakui masih bergelut untuk menurunkan berat badan secara semula jadi iaitu dengan melakukan senaman dan diet pemakanan.
“Sebenarnya sesiapa yang berusaha nak turunkan berat badan, pasti tahu betapa sukarnya nak lakukan secara organik.
Saya sudah hadapi pelbagai cara dan agak bergelut jugalah. Kalau macam saya ini, orang kata ‘kategori yoyo’. Berat badan naik turun,” ujarnya.
Berkongsi lanjut proses penurunan berat badan, Sherry berkata berat badannya boleh turun dan naik secara mendadak.
Jelasnya, perkara paling sukar untuk kekal sepanjang tempoh proses penurunan berat badan ialah memastikan mentalnya kekal kuat.
“Untuk orang yang memang lakukan diet dan senaman memang agak susah nak turunkan berat badan.
Selalunya bila mental saya dah kuat, lepas itu mesti ‘down’ semula. Selalu terfikir sampai bila nak buat macam ini?
“Kalau berat badan naik sikit, automatik akan terdetik dalam fikiran saya perlu kawal pemakanan. Sebenarnya proses saya untuk kurus hanya perlu jaga makan saja,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Sherry bakal mengacarakan AME2025 bersama Nabil Ahmad, Hawa Rizwana dan Namie.
Katanya, dia terharu kerana terus diberikan kepercayaan untuk mengendalikan acara tersebut yang bakal berlangsung pada 12 Oktober depan. – HIBGLAM