‘Teringat-ingat sampai hampir depresi, bercakap seorang diri’ 

MAHU mencabar diri dan mencari sisi berbeza, Aiman Hakim Ridza kini memburu karakter yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini.

Lebih selektif, itu frasa yang tepat menggambarkan pendiriannya ketika ini termasuk menolak untuk menjayakan watak yang pernah dilakukan dalam naskhah-naskhah terdahulu.

Bukan menolak rezeki, Aiman atau nama penuhnya Aiman Hakim Ridza Abdoh mahu memberi sisi berbeza kepada penonton dan enggan tersekat dengan watak serta genre yang sama.

“Untuk tahun ini, saya terlibat dengan drama Bad Cop arahan Jason Chong yang saya terima disebabkan alur cerita dan skripnya yang menakjubkan.

Sejujurnya, Bad Cop berjaya menambat hati saya di kala menolak banyak tawaran lakonan lain.

“Sekarang saya mencari skrip yang lebih mencabar, bukan nak cakap naskhah sebelum ini tidak hebat tetapi ingin mencari kelainan,” katanya kepada HibGlam.

Jelas aktor berusia 36 tahun itu, selain cabaran, dia memilih skrip kerana ingin melihat kualiti lakonannya sendiri naik ke satu tahap yang lebih baik berbanding sebelum ini.

“Saya sekarang cari skrip yang boleh cabar kemampuan sendiri sebab mahu lihat peningkatan dari segi lakonan.

“Kalau boleh nak sesuatu yang ada jiwa, bukan sekadar pergi kerja semata-mata.

Buat masa sekarang saya mencari benda baru dan kalau boleh elak watak yang pernah dilakukan sebelum ini. Kalau sekadar genre komedi romantik, saya sudah penat dan tiada lagi jiwa di situ,” jelas suami kepada aktres, Zahirah MacWilson itu.

MELAKON watak lelaki kembar dalam Bad Cop, Aiman berdepan kemurungan sehingga demam berlarutan selama 10 hari dan tidak dapat tidur.

Dia juga mengakui, tidak cerewet untuk menerima sebarang watak kecil selagi mampu membawa kelainan dalam kerjaya seninya.

Setakat ini tiada lagi tawaran untuk karakter kecil sebab kebanyakannya watak hero, memang tak terima.

“Harap ada tawaran yang bagus pada masa akan datang,” tuturnya.

Depresi

Berkongsi tentang drama terbaharunya Bad Cop terbitan Astro Originals, Aiman menerima tawaran tersebut kerana skrip yang bagus.

Karakternya dalam drama tersebut juga berbeza dengan yang pernah dilakukan sebelum ini iaitu watak pasangan kembar.

Bila dapat tahu pengarahnya adalah Jason Chong, memang sukar nak tolak kerana pernah bekerja dengannya.

“Watak dalam drama bersiri ini sangat berat kerana saya melakonkan dua watak iaitu pasangan kembar Emir dan Imar Khalid,” kongsinya.

Bercerita mengenai pengalaman, Aiman berkata naskhah tersebut memberi impak besar terhadap mental dan emosinya sehingga mengalami kesukaran tidur.

“Selepas masuk set penggambaran saya demam 10 hari dan tidak boleh tidur hingga terpaksa ambil ubat batuk.

Malah, ada babak yang buat saya teringat-ingat sampai hampir mengalami depresi dan kemurungan serta mula bercakap seorang diri.

“Tetapi syukur semua itu hanya kesan sementara dan tak berlarutan, sebab itu saya cakap drama ini ‘lain macam’” katanya lagi.

Dia bagaimanapun bersyukur kerana Zahirah banyak memberi sokongan moral dan sentiasa berada di sisi ketika emosinya berantakan.

“Alhamdulillah, dia banyak beri sokongan dan semangat sepanjang saya berdepan dengan proses ‘breakdown’ itu.

“Saya juga pernah bercakap seorang diri dan tidak perasan yang saya sebenarnya sedang bercakap dengannya. Mujur dia memahaminya.

“Namun, semua ini perkara normal dan syukur tidak terlalu lama ‘terkandas’ dalam emosi watak tersebut,” ujarnya lagi.
Selain Aiman, Bad Cop turut menampilkan lakonan pelakon hebat lain seperti Siti Saleha, Tony Eusoff, Harvinth Skin, Melissa Campbell dan aktres Indonesia, Whulandary Herman. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok