‘Tak layak merungut selagi Siti Nurhaliza tak mengeluh letih’

MESKIPUN waktu rehat terbatas, penyanyi dan komposer Hael Husaini menegaskan dirinya tidak pernah menjadikan rasa penat sebagai alasan untuk hiatus seketika daripada dunia seni.

Ujar Hael atau nama sebenarnya Hal Husaini Razmi, 37, semangat dan disiplin tinggi Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menjadi penanda aras utama untuknya terus kekal memberikan yang terbaik dalam setiap persembahan.

Bagi saya, penat bukan satu keluhan. Sebagai artis, apabila saya sudah berikan komitmen, maka tanggungjawab itu perlu dilaksanakan walau apa pun cabarannya.

“Saya hidup dengan satu prinsip iaitu selagi penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak mengeluh penat, kita yang jauh di bawah ini tak layak untuk merungut letih,” katanya kepada HibGlam.

Menyentuh soal ‘me time’, pelantun lagu Diam itu berkata fasa tersebut telah lama dinoktahkan demi mengejar impian dan peluang yang terbentang luas.

‘Me time’ saya dah habis lama dulu, waktu saya belum dikenali, waktu saya sendu. Jadi sekarang bila rezeki sudah datang, saya tak mahu lepaskan.

“Masa untuk berehat panjang sudah tidak wujud. Saya mahu terus ke hadapan.

“Saya tetap ada waktu rehat, dapat tidur yang berkualiti pun sudah cukup bagi saya. Lagi pula saya memang jenis kuat bekerja,” ujarnya ketika ditemui pada sesi latihan akhir Konsert Tentang Cinta, semalam.

Sebagai bukti kesungguhannya, Hael kini giat melakukan persiapan untuk konsert solo sulungnya, Hael Husaini & Repertoire yang dijadual berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 8 Ogos ini.

Konsert tersebut turut menyaksikan kolaborasi eksklusif Hael bersama rakan-rakan industri seperti Nabila Razali, Wany Hasrita, Nadeera Zaini, Alpha dan Dayang Nurfaizah.

Sehari selepas itu, Hael turut menyertai Festival Tentang Cinta di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu.

Konsert berskala besar tersebut menghimpunkan nama-nama hebat dari Malaysia dan Indonesia seperti Andmesh Kamaleng, Ziva Magnolya, Adira Suhaimi, Ara Johari dan Mary Grace. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok