MELERAIKAN salah faham, penyanyi Amira Othman memaklumkan telefon aktor Fattah Amin ketika dipinjam sudah sedia terbuka atau unlocked, bukan menggunakan kata kunci yang diketahuinya seperti didakwa segelintir pihak.
Amira atau nama sebenarnya, Nadia Amira Othman, 31, berkata pada awalnya, dia sendiri tidak menyedari tindakan memegang telefon tersebut semasa siaran langsung bagi membaca lirik lagu mengundang kekecohan sehingga tular.
“Sebenarnya selepas tengok semula video itu baru perasan saya tak tekan pun kata laluan telefon Fattah sebab masa dia hulurkan telefon, skrin sudah sedia ‘unlocked’.
Tetapi disebabkan pada masa sama saya fokus mendengar penerangan produk, apabila ditanya mengenai perkara tersebut saya jadi keliru.
“Apabila timbul pula tanggapan saya sendiri dilihat memasukkan password ke telefon milik Fattah, sudah tentu saya kena jelaskan hal sebenar,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Wajah Baharu Butik Amber di Wangsa Walk, semalam.
Menurut Amira lagi, telefon bimbit adalah antara barangan peribadi seseorang, sekali gus dia menghormati ruang privasi rakan sekerjanya itu.
“Telefon dia, milik dia. Telefon saya, milik saya. Kalau saya tengok pun, telefon dia memang sudah dalam keadaan tidak berkunci.
Tak ada apa-apa pun isu sepatutnya. Saya cuma nak tengok sekejap, itu pun kerana hal membabitkan kerja kami. Lagipun bila selesa, kita kongsi sahaja apa yang ada di skrin (telefon).
“Bahkan semasa buat live (siaran langsung) pun kita tengok komen pengikut di skrin masing-masing, itu sahaja,” ujarnya.
Terdahulu, tular video penyanyi lagu Hati-Hati itu didakwa mengetahui kata laluan telefon bimbit milik Fattah juga lelaki yang dikatakan paling akrab dengannya ketika ini.
Perkara tersebut semakin menguatkan spekulasi mereka menjalin hubungan istimewa biarpun masing-masing hanya memaklumkan bersahabat serta selesa bekerja bersama-sama. – HIBGLAM