AKTOR senior Korea Selatan, Song Young-kyu dilaporkan meninggal dunia dalam kereta miliknya awal pagi tadi.
Khabar duka tersebut mengejutkan ramai pihak apatah lagi ketika mendiang masih terpalit dengan kontroversi undang-undang berkaitan kes memandu di bawah pengaruh alkohol (DUI).
Menurut laporan, Young-kyu ditemui tidak bernyawa di kawasan Cheoin-gu, Yongin, yang terletak di wilayah Gyeonggi-do, Korea Selatan oleh seorang kenalan yang kemudian segera melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis.
Jurucakap Balai Polis Yongin Dongbu mengesahkan bahawa tiada sebarang tanda kekerasan ditemui pada tubuh mangsa dan tiada surat bunuh diri dijumpai di lokasi kejadian.
Setakat ini, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian dan pihak berkuasa sedang mempertimbangkan untuk melakukan bedah siasat.
Upacara memperingati mendiang Young-kyu diadakan di Davos Hospital Funeral Hall, Yongin. Proses pengebumian pula dijadualkan berlangsung pada 6 Ogos 2025 dan mendiang akan disemadikan di Hambaeksan Memorial Park.
Mendiang meninggalkan seorang isteri dan dua anak perempuan.
Lelaki yang berusia 55 tahun itu merupakan pelakon berbakat yang pernah membintangi pelbagai drama dan filem terkenal seperti Extreme Job, Stove League, Suriname dan Casino.
Dia memulakan kerjaya lakonan pada 1994 menerusi pementasan teater muzikal kanak-kanak dan sejak itu aktif sebagai pelakon pembantu dalam pelbagai produksi besar.
Namun pada Jun 2025, nama Young-kyu menjadi perhatian selepas ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk sejauh kira-kira lima kilometer dari Giheung-gu ke Cheoin-gu.
Hasil ujian mendapati kadar alkohol dalam darahnya melebihi 0.08%, iaitu tahap yang membolehkan lesen memandu dibatalkan di Korea Selatan.
Meskipun tidak ditahan reman, kes tersebut diserahkan kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut.
Akibat skandal terbabit, kerjayanya terjejas apabila dia dikeluarkan daripada produksi teater Shakespeare in Love, di mana dia memegang watak Penny-man.
Dua drama yang sudah selesai penggambaran, iaitu I Shopping dan The Winning Try, terpaksa menyunting semula adegan bagi meminimumkan kehadirannya tanpa menjejaskan jalan cerita.
Difahamkan, rakan-rakan terdekat mendiang memaklumkan bahawa keadaan mental Young-kyu semakin merosot selepas skandal tersebut tersebar luas.
Dia dikatakan mengalami tekanan emosi yang berat akibat kecaman netizen dan laporan negatif media. – KOSMO! ONLINE