ISKANDAR ISHAK
MESKIPUN sering menjadi sasaran kecaman terutama berkaitan gaya penampilan, pelakon dan penyanyi Daiyan Trisha tetap bersyukur kerana peminat masih memahami dan setia menyokong karier seninya.
Ujar Daiyan atau nama sebenarnya Daiyan Trisha Mohd. Nasaruddin, 31, sokongan peminat menjadi sumber kekuatan dalam meneruskan langkah, biarpun acap kali diselubungi kontroversi.
Saya bersyukur dan terharu sebab peminat faham personaliti saya. Walaupun ada kontroversi, mereka tetap beri sokongan.
“Mereka tahu siapa saya, dan itu yang membuatkan saya terus yakin dengan apa yang saya buat,” katanya ketika ditemui pada Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT2025), malam tadi.
Dalam majlis penuh gemerlapan tersebut, Daiyan melakar kejayaan manis apabila diumumkan sebagai penerima Ultimate Award, anugerah tertinggi AMT 2025.
Dia turut membawa pulang trofi bagi kategori Selebriti Stailo Terhangat, mengukuhkan lagi posisinya sebagai salah seorang artis paling berpengaruh masa kini.
Mengulas mengenai kritikan dalam media sosial, pelakon filem Sumpahan Jerunei itu berkata, dirinya sudah terbiasa dengan kecaman dan menganggap semua itu sebahagian daripada realiti bergelar anak seni.
Saya rasa dah biasa kena kecam. Saya terima semuanya dengan hati terbuka. Kita sebagai artis memang perlu bersedia hadap semua tu.
“Buatlah apa pun, betul atau salah, tetap ada orang komen dan beri persepsi sendiri,” ujarnya.
Pun begitu, pelantun lagu Pergilah itu tidak menafikan segala kecaman tetap memberi kesan dari sudut emosi, meskipun dia berusaha menghadapinya secara profesional.
Ya, ada kesannya. Saya pun manusia biasa. Pada akhirnya terasa juga sebab sejujurnya saya memang sensitif.
“Tapi saya dah belajar untuk asingkan perkara tu dan terus fokus pada kerja saya,” katanya.
Terdahulu, nama Daiyan pernah menjadi sasaran kecaman susulan penularan video TikTok memaparkan dirinya bersama Sophia Liyana, Yaya Zahir dan Azira Shafinaz menari mengikut trend semasa dalam sebuah bilik air.
Aksi berkenaan dikritik segelintir pihak kerana dianggap tidak bersesuaian, memandangkan Daiyan pernah beberapa kali menunaikan umrah.
Namun dia menegaskan dirinya hanya mahu kekal menjadi diri sendiri serta sentiasa terbuka untuk berubah apabila tiba masa yang sesuai.
Untuk rekod, Ultimate Award diberikan kepada figura hiburan yang memberi impak besar dalam industri menerusi pengaruh positif, momen tular, serta sokongan dan interaksi bersama masyarakat sepanjang tahun. – HIBGLAM