FILEM Memori yang ditayangkan di seluruh pawagam tanah air sejak 31 Julai lalu diinspirasikan daripada kisah benar sutradaranya, Abid Hussain yang bertujuan menyuntik kesedaran umum.
Diterbitkan Creative Stew Sdn. Bhd. dengan kerjasama Golden Screen Cinema, Memori mengangkat kisah menyayat hati hubungan bapa dan anak yang bergelut dengan kisah silam serta penyakit Alzheimer.
Bintang utamanya, Diana Danielle berpendapat karya yang membawa mesej berat dan mendalam harus diketengahkan bagi membuka mata orang ramai terhadap penyakit Alzheimer.
“Filem ini membawa topik penting dan kerana mewakili sejenis penyakit atau gangguan tertentu.
“Jadi, sudah tentu kita perlukan lebih banyak lagi wakil atau representasi sebegini untuk isu-isu kehidupan sebenar yang dihadapi masyarakat.
“Saya sangat bangga dengan Abid, sebab dia berani. Dia boleh menghasilkan karya komersial atau mesra ‘box office’ tapi memilih untuk mengetengahkan isu Alzheimer,” katanya kepada HibGlam.
Pada masa sama, Diana atau Diana Danielle Danny Beeson berkata, kecenderungan Abid untuk menghasilkan Memori tercetus daripada pengalaman peribadi menjaga bapanya yang menghidap Alzheimer.
Sejak itu, Abid mula sedar ramai bergelut dengan kesukaran menjaga pesakit Alzheimer.
“Saya masih ingat, ketika ayah Abid sakit dan tercari-cari cara menjaga insan kesayangannya itu, dia menyertai satu kumpulan Facebook.
“Daripada situlah dia mula faham sebenarnya ramai sedang bergelut menjaga pesakit Alzheimer.
“Kesedaran tentang penyakit ini sangat rendah dalam kalangan masyarakat. Jadi saya rasa, dengan niat baik yang dia ada itu, dibantu pula dengan pengiktirafan seperti ini, sangatlah bermakna,” ujar wanita berusia 34 tahun itu.
Jaga orang sakit
Ditanya mengenai pengalaman peribadi, pelakon filem Imaginur itu mengakui tidak pernah menjaga pesakit Alzheimer, namun ada pengalaman menguruskan orang sakit dan menyifatkan pengalaman tersebut sebagai sangat mencabar.
“Tiada (pengalaman jaga orang Alzheimer) tapi saya pernah jaga orang sakit. Memang mencabar dan menguji kesabaran.
“Kadang-kadang boleh buat kita bergaduh adik-beradik sebab banyak salah faham akan timbul.
Seperkara lagi, apabila uruskan orang sakit timbul kerisauan andai mereka tiada satu hari nanti,” ujarnya lagi.
Diana bagaimanapun enggan berkongsi sebarang tip khusus mengendalikan pesakit sebaliknya menyeru masyarakat untuk lebih peka terhadap penjaga.
“Saya tak berani nak cakap tentang tip. Masing-masing ada cabaran tersendiri, kadang-kadang yang menjadi dugaan terbesar adalah kewangan.
“Kewangan memainkan peranan sebab kadang-kadang yang sakit adalah individu yang mencari nafkah untuk keluarga.
“Kita mungkin sebagai orang luar boleh bagi sokongan dalam apa cara sekali pun sebab penjaga orang sakit perlukan ruang untuk luahkan tekanan atau rasa penat.
“Mereka tidak boleh merungut atau beritahu pesakit yang mereka penat. Jadi, mereka perlukan kawan dan orang sekeliling untuk berkongsi segala rasa yang terpendam di hati,” jelasnya.